Hina raja, pesara dipenjara 43 tahun

BANGKOK, 19 JAN – Sebuah mahkamah di Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara mencecah rekod selama 43 tahun dan enam bulan ke atas bekas kakitangan awam kerana mencabuli undang-undang tegas negara, menghina atau memfitnah raja, peguam mengatakan.

Mahkamah Jenayah Bangkok mendapati pesara wanita itu bersalah atas 29 pertuduhan melanggar undang-undang negara lese majeste, kerana menyiarkan klip video di Facebook dan YouTube dengan komen yang dianggap kritikal ke atas monarki, kumpulan Peguam Thailand bagi Hak Asasi Manusia mengatakan. Hukuman yang diputuskan di tengah-tengah gerakan protes yang menyaksikan kritikan tidak dijangkakan daripada orang awam terhadap monarki, segera menerima kecaman daripada kumpulan hak asasi.

“Keputusan mahkamah hari ini mengejutkan dan memberi isyarat menggentarkan bahawa bukan sahaja kritikan ke atas monarki tidak akan ditoleransi, namun ia juga akan menerima hukuman berat,” kata Sunai Phasuk, penyelidik kanan bagi kumpulan hak asasi, Human Rights Watch.

Mencabuli undang-undang lese majeste Thailand – dikenali lebih meluas sebagai Artikel 112 – boleh dihukum dari tiga sehingga 15 tahun penjara bagi setiap kesalahan. Undang-undang itu cukup kontroversi kerana ia bukan sahaja digunakan untuk menghukum kesalahan kecil seperti memberi tanda suka kepada satu status di Facebook, malah sesiapa sahaja – bukan sahaja kerabat diraja atau pihak berkuasa –boleh membuat aduan yang membabitkan seorang dituduh dalam prosiding perundangan selama bertahun-tahun. – AP

Seorang wanita dikenali hanya dengan nama Anchan berjabat tangan dengan rakannya ketika tiba di Mahkamah Jenayah Bangkok, Thailand, 19 Januari. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 43 tahun enam bulan ke atas pesara kakitangan awam itu kerana menghina raja. – AP