Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Hindar cemar alam dengan plastik

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia adalah disebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia sendiri.

    Contohnya dalam kehidupan seharian, bahan plastik banyak diguna pakai dan mudah diperolehi dengan harga yang murah, tetapi akibat terlalu bergantung kepada bahan plastik, ia telah mencetuskan kesan negatif kepada alam sekitar, sosial, ekonomi dan kesihatan di seluruh dunia.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menjaga Alam Sekitar’ mengongsikan bahawa di seluruh dunia 1 juta botol plastik dibeli setiap minit, manakala 5 trilion beg plastik digunakan setiap tahun.

    Manakala secara puratanya, separuh dari bahan plastik yang direka dengan tujuan sekali guna sahaja akan berakhir di tapak pelupusan sampah dan kemungkinan besar mencemari alam sekitar, sekiranya dibuang atau dibakar dengan sesuka hati.

    Tidak dapat dinafikan, jelas khatib, terdapat segelintir masyarakat kitani yang kurang bertanggungjawab dengan membuang sampah sesuka hati di tempat yang tidak sepatutnya.

    Kita sering melihat sampah dari sisa plastik tersadai dan terapung di tebing atau di pinggir sungai yang mencemarkan keindahan alam sekitar dan secara langsung menjejaskan imej negara terutama di mata pelancong.

    Beliau seterusnya menekankan, sisa plastik juga sering dilihat mengotori dan menyekat longkang-longkang yang mengakibatkan tersumbat sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan dan terjadinya banjir.

    “Tabiat segelintir orang yang suka membuang bahan plastik sewenang-wenangnya sangat menyedihkan, walaupun banyak usaha telah dilaksanakan oleh pihak berkenaan untuk mengatasi masalah ini,” tegasnya.

    Katanya lagi, perbuatan merosakkan dan mencemari alam sekitar sama ada secara sengaja atau tidak adalah bercanggah dengan naluri manusia yang suka kepada kebersihan
    dan keindahan.

    Ke arah mengekalkan dan memelihara alam sekitar yang sentiasa indah dan damai, masyarakat diseru untuk memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab bagi menjaga kebersihan serta melindungi alam sekitar dari apa juga bentuk pencemaran dan kekotoran.

    Dengan cara mengamalkan kebersihan dalam kehidupan, Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara yang indah, bersih dan bebas daripada sebarang penyakit dan marabahaya.

    Sudah menjadi kewajipan sebagai manusia yang dikurniakan akal hendaklah memakmurkan, memanfaatkan serta menjaga bumi dan alam sekitar yang telah Allah kurniakan dengan selayaknya dan bukan melakukan kerosakan, pencemaran dan kemusnahan.

    Sesungguhnya, Allah SWT telah menciptakan alam ini dengan sangat indah, sempurna dan seimbang dan merupakan suatu anugerah Allah SWT yang amat bernilai buat seluruh makhluk khususnya manusia.

    Kehidupan manusia menjadi sejahtera dan makmur kerana alam ini dapat menyediakan tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian dan keperluan-keperluan asas lain buat mereka untuk hidup di muka bumi ini.

    Semua makhluk, tambahnya, tidak kira manusia, binatang atau tumbuh-tumbuhan amat bergantung kepada sumber semula jadi di muka bumi ini, oleh itu, Allah melarang melakukan sebarang kerosakan di muka bumi sama ada kerosakan kepada jiwa, harta benda dan alam sekitar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...