Hindari bahaya rokok

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Penyakit jantung dan tembakau berkaitan sebagai penyebab utama kematian di seluruh dunia, dengan 17 juta kematian akibat penyakit kardiovaskular termasuk strok manakala penggunaan tembakau serta pendedahan kepada asap rokok pasif menyumbang kepada 12 peratus kematian disebabkan oleh penyakit jantung.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar (gambar) dalam perutusan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia atau World No Tobacco Day pada tahun ini yang lazimnya disambut pada 31 Mei.

Kaitan penyakit jantung dan tembakau merupakan tumpuan sambutan tahun ini yang bertemakan Tembakau dan Penyakit Jantung kerana merokok sememangnya membahayakan kesihatan dengan bahan-bahan kimia dalam rokok membahayakan sel-sel darah dan boleh menjejaskan fungsi jantung serta struktur seluruh darah.

Pendedahan kepada kimia dalam rokok akan merangsang proses pembentukan plak di dalam darah atau arteosklerosis yang mana boleh menyekat atau menyumbat saluran darah mengakibatkan tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari, serangan jantung dan kerosakan kepada organ-organ lain dalam badan termasuk otak. Menurut Yang Berhormat Dato lagi, di Negara Brunei Darussalam, penyakit jantung dan strok masing-masing adalah penyebab kematian yang kedua dan keempat tertinggi, yang mana, jika ia digabungkan, menyebabkan lebih kurang 20 peratus daripada semua kematian pada tahun 2016.

Manakala, perangkaan jumlah kes penyakit jantung koronari yang memerlukan rawatan khusus telah menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun, sepertimana yang diperolehi daripada jumlah pendaftaran pesakit di Gleneagles JPMC, iaitu 143 pesakit pada tahun 2016 dan 152 pesakit pada tahun 2017. Pada awal tahun ini sahaja, sejumlah 65 pesakit telah dianggarkan berdaftar sehingga April 2018.

Hasil kaji selidik STEPS NCD 2016 menunjukkan sebanyak 20 peratus atau seramai 50,000 ke 60,000 rakyat Brunei yang berumur di antara 18 hingga 69 tahun adalah perokok, yang mana 36.3 peratus adalah di kalangan lelaki dan 3.7 peratus dalam kalangan perempuan. Di kalangan perokok pula, sebanyak 30 peratus adalah daripada golongan umur yang produktif iaitu di antara18 hingga 44 tahun.

Jika kebanyakan mereka ini mula atau sudah menghidapi tanda-tanda penyakit jantung ataupun kardiovaskular, setentunya ianya akan mempunyai implikasi terhadap sosioekonomi negara dari segi kos seperti perbelanjaan rawatan yang ditanggung oleh kerajaan, kerugian disebabkan kehilangan produktiviti, kehilangan pendapatan di tempat kerja dan boleh menjejaskan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa yang panjang.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, apa yang lebih membimbangkan lagi ialah kesan-kesan tabiat merokok yang bukan saja menjejaskan kesihatan perokok itu sendiri, malah menjejaskan kesihatan orang sekeliling perokok yang terdedah kepada asap rokok, iaitu perokok pasif (passive smokers). Pendedahan pada asap rokok pasif (secondhand smoke) meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung dan strok sebanyak 20 ke 30 peratus. Ianya juga meningkatkan risiko bagi serangan jantung dan kematian mengejut di kalangan perokok pasif.

Pendedahan asap rokok pasif di kalangan kanak-kanak dan remaja ini adalah amat berbahaya dan boleh menyebabkan masalah pernafasan yang serius seperti penyakit asma serta meningkatkan risiko mereka menghidap penyakit jantung koronari.

Oleh itu, perokok-perokok adalah digalakkan untuk berhenti merokok bukan saja untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan diri, malahan untuk melindungi keluarga, anak-anak, dan orang-orang di sekeliling.

Dalam perutusan itu juga, Yang Berhormat Dato menekankan dalam usaha membantu perokok-perokok yang bersedia untuk berhenti merokok, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di pusat-pusat Kesihatan tertentu di setiap daerah bagi memberikan khidmat kaunseling serta bantuan farmakoterapi seperti alat gantian nikotin kepada yang memerlukannya.