Hindari sifat hasad dengki

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Akhlak mulia merupakan kunci kepada segala kebaikan dan ia adalah penting dalam membina dan membentuk kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.

Akhlak yang terpuji hendaklah diterapkan dalam diri setiap individu pada setiap masa dan keadaan dengan contoh teladan dan ikutan yang terbaik bagi seluruh umat manusia adalah Rasulullah SAW.

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini seterusnya menambah, Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya akan ditimpa penyakit-penyakit sebagaimana yang telah menimpa umat terdahulu yang boleh menyebabkan dan menyuburkan perasaan dendam, permusuhan malah pertumpahan darah.

“Agama Islam melarang umatnya daripada bersifat dengki kerana sifat tersebut boleh memakan diri sendiri dan mendatangkan kesan yang buruk dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara,” tegasnya.

Pada lazimnya orang yang bersifat dengki jiwanya tidak akan tenteram, tegas khatib, mereka sentiasa bersikap runsing dan berasa resah gelisah, apa tah lagi melihat orang lain lebih maju, senang dan berjaya.

Mereka menginginkan supaya kesenangan atau nikmat orang itu hilang dan apabila orang itu jatuh tersungkur, maka ia akan berasa gembira.

Khatib menjelaskan bahawa hasad dengki ini adalah antara penyakit hati yang lahir kerana terlalu cinta kepada dunia dan lupa akan kebesaran Allah dan perasaan hasad dengki tidak pernah mengenal pertalian darah atau keluarga, tidak mengenal sahabat dan rakan sekerja.

“Ini kerana hubungan keluarga yang rapat boleh menjadi renggang, sahabat yang akrab boleh menjadi musuh, rakan sekerja menjadi tidak sehaluan dan semua ini di sebabkan perasaan hasad dengki,” tegasnya.

Khatib menjelaskan, terdapat ba-nyak sebab mengapa orang itu mempunyai perasaan hasad dengki, antaranya permusuhan, dendam, berasa bimbang tujuan tertentu tidak tercapai dan sebagainya.

Menghindarkan diri daripada sifat hasad dengki, jelasnya, adalah sangat susah dan berat untuk dilaksanakan, oleh itu orang yang berjaya menghindarkan sifat tersebut akan dimuliakan dan dikurniakan ganjaran syurga dari Allah.

Khatib seterusnya mengongsikan, untuk menjaga dan mengubati sifat hasad dengki, perlu beberapa pendekatan yang antaranya hendaklah sentiasa menguasai diri dan menyedari, penyakit hasad dengki boleh merosakkan dan membinasakan diri sendiri.

Hendaklah tahu mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah dan jika melihat orang lain memperolehi nikmat atau kelebihan, hendaklah mengakui mereka memperolehi dengan hasil usaha dan kurnia Allah.

Di samping itu, hendaklah rajin bekerja, berikhtiar untuk mencari rezeki dan kurnia Allah dan jangan sentiasa membanding-bandingkan diri dengan orang yang lebih tinggi keadaan atau tarafnya serta sentiasa berdoa memohon perlindungan Allah daripada sifat hasad dengki dan jika masih juga mempunyai sifat hasad dengki dalam diri, hendaklah bertaubat, beristifar dan memohon ampun dari Allah.

Sehubungan itu, khatib mengingatkan dan menyeru saudara-saudara Islam untuk menghindarkan diri daripada perasaan hasad dengki yang dilarang dalam agama Islam dan jangan sampai ia bersarang dalam hati kerana ia adalah antara sifat yang dibenci Allah.