Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Hirabah: Jenayah besar yang boleh membawa hukuman mati

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    SIRI DUA

    Hukuman bagi jenayah hirabah dalam Akta Kanun Jenayah Hukuman Syar‘iyyah
    Dengan perlaksanaan Akta Kanun Jenayah Hukuman Syar‘iyyah di Negara Brunei Darussalam, sebagai mendukung kanun atau undang-undang Allah Subhanahu wa Ta‘ala, hukuman hadd bagi jenayah hirabah ini telah diperuntukkan dalam Bab 63 Akta tersebut seperti berikut:

    Hukuman hirabah:
    63. (1) Mana-mana orang yang melakukan hirabah dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya dua orang syahid menurut Hukum Syara‘ selain keterangan mangsa setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hadd seperti berikut:

    (a) Bunuh, jika semasa dia melakukan hirabah itu qatl (pembunuhan) telah berlaku, sama ada mengambil harta atau tidak, sama ada harta yang diambil itu nilainya sampai kepada nisab atau kurang daripada nisab;

    (b) (i) Potong tangan kanan di pergelangannya dan kaki kiri di buku lali, jika semasa dia melakukan hirabah, harta yang diambil itu nilainya sampai kepada nisab atau lebih;

    (ii) Apabila kesalahan hirabah itu telah dilakukan bersama oleh lebih daripada seorang, maka hukuman potong tangan dan kaki itu hendaklah hanya dikenakan jika nilai bahagian setiap orang daripada mereka itu adalah sampai kepada nisab atau lebih;

    Mana-mana orang yang cuba melakukan hirabah atau cuba untuk menyebabkan berlakunya hirabah adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 30 sebatan.
    Hirabah tidak syak lagi adalah satu perlakuan haram dan merupakan satu dosa besar.

    Selain hukuman di atas, turut dinyatakan dalam Bab 63(c) Akta tersebut bahawa jika jenayah hirabah itu mengakibatkan kecederaan ke atas mangsa, maka hukuman berikut akan dikenakan menurut jenis kecederaan atau sepertimana yang ditetapkan oleh Mahkamah:

    (i) Hukuman balas balik atau hukuman yang serupa bagi kecederaan tersebut (qisas), atau;

    (ii) Membayar suatu jumlah tertentu sebagai ganti rugi kepada mangsa kerana kecederaan (arsy).

    Hukuman ta‘zir dalam jenayah hirabah
    Dalam kes jenayah hirabah, selain daripada peruntukan hukuman hadd di atas, hukuman ta‘zir juga boleh dikenakan dalam keadaan-keadaan berikut:

    (1) Bila hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirabah tidak dikenakan
    Hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirabah tidak akan dikenakan dalam keadaan-keadaan berikut:

    (i) Jika ia dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukkan di bawah ceraian (1), iaitu ia dibuktikan dengan cara selain daripada:

    (a) Iqrar oleh tertuduh sendiri, ataupun selain daripada;

    (b) Syahadah (keterangan daripada sekurang-kurangnya dua orang saksi mengikut hukum syara‘), selain daripada keterangan mangsa.

    (ii) Dalam keadaan-keadaan di mana hukuman hadd potong tangan dan kaki mungkin tidak dikenakan dalam jenayah sariqah (curi). Umpamanya jika nilai harta hirabah itu kurang daripada nisab, ataupun pesalah itu bukan mukallaf, ataupun jika harta yang dicuri adalah sejenis harta yang tidak bernilai dan sebagainya sepertimana yang disebutkan dalam Bab 56 Akta jenayah sariqah.

    Dalam hal hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirabah tidak dikenakan sepertimana dalam keadaan-keadaan yang disebutkan di atas, maka jika sabit kesalahan, hukuman ta‘zir akan dikenakan, iaitu dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan. Hal ini ada disebutkan dalam Bab 63(2) dalam Akta berkenaan.

    (2) Percubaan melakukan hirabah
    Orang-orang yang sabit kesalahan kerana percubaan melakukan hirabah atau cuba untuk menyebabkan berlakunya hirabah tidak akan dikenakan hukuman hadd. Akan tetapi, mereka dikenakan hukuman ta‘zir. Hal ini ada diperuntukkan dalam Bab 65 Akta berkenaan seperti berikut:

    65. Mana-mana orang yang cuba melakukan hirabah atau cuba untuk menyebabkan berlakunya hirabah adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 30 sebatan.

    (3) Subahat melakukan jenayah hirabah
    Hukuman melakukan subahat dalam jenayah hirabah, sepertimana yang diperuntukkan dalam Bab 66 dalam Akta tersebut adalah seperti berikut:

    66. (1) Mana-mana orang yang bersubahat melakukan hirabah di bawah bab 63(1) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan.

    (2) Mana-mana orang yang bersubahat melakukan hirabah di bawah bab 63(2) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 20 sebatan.

    Ini bermaksud, orang yang bersubahat melakukan jenayah hirabah, yang mana jenayah tersebut dibuktikan dengan iqrar tertuduh ataupun syahadah, maka orang yang sabit kesalahan bersubahat itu boleh dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan.

    Sementara dalam kes jenayah hirabah itu dibuktikan dengan selain daripada iqrar tertuduh ataupun syahadah pula, ataupun dalam keadaan hukuman hadd potong tangan dan kaki tidak boleh dikenakan ke atas pesalah, maka orang yang sabit kesalahan bersubahat itu boleh dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 20 sebatan.

    Demikian beberapa penerangan tentang jenayah hirabah serta hukuman yang diperuntukkan bagi pesalah jenayah tersebut. Apa yang pasti, undang-undang Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu maha adil dan saksama serta penuh dengan hikmah yang tersendiri.

    Hukuman yang Allah peruntukkan bukanlah untuk membalas dendam ataupun melepaskan geram ke atas pesalah, akan tetapi ia sebagai pembela hak dan nasib mangsa serta pengajaran dan iktibar bagi yang lain. Sememangnya Kanun Jenayah Hukuman Syar‘iyyah itu adalah penjamin keamanan dan kesejahteraan buat semua.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...