Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Hirabah: Jenayah yang boleh membawa hukuman mati

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    SIRI SATU

    Definisi Hirabah
    Hirabah bermakna suatu perbuatan merampas harta orang lain dengan kekerasan atau ugutan hendak menggunakan kekerasan yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan orang yang bersenjatakan apa-apa jenis senjata atau alat yang boleh digunakan sebagai senjata.

    Tidak disyaratkan dalam hirabah itu sama ada penjenayah melakukan jenayah tersebut secara berseorangan ataupun secara berkumpulan.

    Tidak juga disyaratkan bahawa si penjenayah itu adalah lelaki ataupun perempuan.

    Begitu juga tidak disyaratkan dalam hirabah itu pembunuhan mahupun kecederaan telah berlaku ataupun harta yang dirompak itu sampai nisab.

    Selagi mana rompakan itu dilakukan dengan kekerasan atau dengan ugutan hendak menggunakan kekerasan, dan ia dilakukan dengan menggunakan senjata atau apa sahaja alat yang boleh digunakan sebagai senjata, sama ada ia dilakukan oleh orang perseorangan ataupun secara berkumpulan, lelaki ataupun perempuan, berlaku pembunuhan ataupun tidak, berlaku kecederaan ataupun tidak, harta yang dirompak sampai nisab ataupun tidak, maka jenayah tersebut dinamakan atau dikategorikan sebagai hirabah.

    Jenayah hirabah merupakan satu jenayah yang sangat berat dan berbahaya, oleh itu pelakunya dikenakan hukuman hadd yang sangat berat jika disabitkan dengan cara iqrar oleh tertuduh sendiri, ataupun syahadah selain daripada keterangan mangsa.
    Hirabah bermakna suatu perbuatan merampas harta orang lain dengan kekerasan atau ugutan hendak menggunakan kekerasan yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan orang yang bersenjatakan apa-apa jenis senjata atau alat yang boleh digunakan sebagai senjata.

    Hukum dan balasan melakukan jenayah hirabah
    Hirabah tidak syak lagi adalah satu perlakuan haram dan merupakan satu dosa besar. Ia termasuk dalam bahagian jenayah yang dikenakan hukuman hadd dengan kesepakatan para fuqaha’. Dalam al-Qur’an, perlakuan hirabah dianggap dan digelarkan sebagai perlakuan memerangi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya serta membuat kerosakan di muka bumi.

    Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah al-Ma’idah ayat 33 yang tafsirnya:

    Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi (dengan menyamun dan merompak) ialah dengan dibalas bunuh, atau dipalang atau dipotong tangan-tangan mereka serta kaki-kaki mereka dengan bersilang atau dibuang negeri (tempat kediaman mereka).

    Hukuman yang demikian itu adalah suatu penghinaan kepada mereka di dunia dan di akhirat kelak bagi mereka azab yang besar. (Surah al-Ma’idah: 33)

    Perumpamaan jenayah hirabah sebagai satu perlakuan memerangi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasul-Nya serta membuat kerosakan di muka bumi adalah satu perumpamaan yang sangat dahsyat di mana ia jelas menggambarkan bahawa perlakuan hirabah itu adalah satu jenayah yang sangat besar dan berat.

    Pelaku jenayah hirabah ini, yang tergamak menggunakan kekerasan serta senjata untuk merampas hak dan harta benda orang lain, adalah mereka yang sangat malang.

    Selain kecaman dalam al-Qur’an, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah menafikan mereka ini sebagai umat Baginda.

    Abdullah bin Umar, Salamah bin al-Akwa’, Abu Musa al-Asy’ari, dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    Barangsiapa yang menghunus senjata ke atas kami, maka dia bukanlah sebahagian daripada kami.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Penafian sebagai umat Muhammad atau umat Islam ini merupakan satu amaran serta kecaman atas perbuatan melampau mereka yang bertindak menyebabkan ketakutan di kalangan orang ramai serta satu peringatan kepada semua supaya menjauhi jenayah seumpama itu.

    Ini kerana sebagai umat Muhammad atau umat Islam, hak mereka sesama muslim sepatutnya adalah saling membantu, mempertahankan dan memberikan perlindungan antara satu dengan yang lain.

    Bukannya merompak, membunuh, mencederakan ataupun menggugat keamanan dan keselamatan atau menimbulkan ketakutan di kalangan mereka. Amaran ini jelas menunjukkan betapa beratnya perlakuan jenayah tersebut dan satu dalil jelas bahawa ia adalah suatu yang haram.

    Hukuman hadd bagi jenayah hirabah
    Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa jenayah hirabah merupakan jenayah yang dikenakan hukuman hadd.

    Jenayah hirabah tidak syak lagi merupakan satu jenayah yang sangat berat dan merbahaya. Oleh itu, pelakunya dikenakan hukuman hadd yang sangat berat juga jika jenayah hirabah itu disabitkan dengan dua cara:

    1- Iqrar (pengakuan bersalah) oleh tertuduh sendiri, ataupun

    2- Syahadah (keterangan saksi mengikut hukum syara’), selain daripada keterangan mangsa.

    Sekiranya didapati sabit kesalahan jenayah hirabah itu melalui salah satu cara di atas atau kedua-duanya sekali, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menetapkan hukuman hadd berikut ke atas mereka sepertimana yang dinyatakan dalam ayat ke-33 surah al-Ma’idah.

    a) Hukuman hadd bunuh dan salib
    Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirabah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirabah terbunuh dan harta yang dirompak atau diambil pula cukup nisab ataupun lebih.

    Dalam kes seumpama ini, walaupun harta yang dirompak atau diambil cukup nisab, hanya hukuman hadd bunuh dan salib sahaja yang akan dijalankan ke atas pesalah. Adapun hukuman hadd potong tangan kanan dan kaki kiri pula tidak akan dikenakan.

    Pelaksanaan hukuman hadd salib atau palang selepas dibunuh ini bertujuan sebagai balasan atas perbuatan melampau mereka serta sebagai pengajaran dan amaran bagi yang lain supaya menjauhi jenayah ini.

    Menurut ulama mazhab asy-Syafi’e, hukuman hadd salib ini hendaklah dilaksanakan selepas pelaksanaan hukuman hadd bunuh.

    Ini kerana jika hukuman hadd salib itu dilaksanakan sebelum hukuman hadd bunuh, ia merupakan suatu penyiksaan yang ditegah oleh syara’.

    Selepas hukuman hadd bunuh dilaksanakan ke atas pesalah jenayah hirabah, jenazahnya hendaklah dimandikan, kemudian dikafankan dan seterusnya disembahyangkan terlebih dahulu.

    Selepas itu barulah jenazah pesalah hirabah itu disalib pada kayu atau seumpamanya selama tiga hari tiga malam supaya perkara jenayah dan hukumannya itu diketahui umum agar orang ramai mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.

    Bagaimanapun, jika jenazah itu berubah ataupun mereput sebelum sampai tiga hari, menurut pendapat yang ashah hendaklah ia diturunkan.

    Bagaimanapun, dalam konteks Negara Brunei Darussalam, atas dasar mashlahah, Majlis Ugama Islam Brunei telah bersetuju untuk meniadakan hukuman hadd salib ini.

    b) Hukuman hadd bunuh
    Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirabah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirabah terbunuh walaupun harta tidak diambil ataupun harta diambil akan tetapi kurang daripada nisab.

    c) Hukuman hadd potong pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lali
    Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirabah itu cuma harta yang dirompak atau diambil sahaja yang sampai nisab ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku.

    Adapun nisab atau nilai yang dikenakan hukuman hadd sepertimana yang termaktub dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah ialah 1 dinar, iaitu 4.25 gram emas ataupun nilainya dalam mata wang tempatan pada masa kesalahan dilakukan.

    Jadi jika harga pasaran 1 gram emas ialah 80 ringgit Brunei, maka kadar nisab curian atau rompakan yang dikenakan hukuman hadd dalam mata wang Brunei Darussalam adalah 340 ringgit Brunei.

    Hukuman hadd potong pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lali ini adalah dikira satu hukuman hadd dan perlu dilaksanakan kedua-duanya.

    Dalam makna, apabila semasa melakukan jenayah hirabah itu cuma harta yang diambil yang sampai nisab ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku, maka jika sabit kesalahan, kedua-dua pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lalinya akan dipotong.

    Dari itu, kedua-duanya perlu dilaksanakan ke atasnya sama ada secara sekali gus ataupun secara satu persatu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...