Hishammuddin kembali ketuai usaha pengurusan pandemik

KUALA LUMPUR, 2 SEPT – Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kembali mengetuai usaha berkaitan pengurusan pandemik termasuk COVID-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengumumkan perkara itu, Hishammuddin berkata pengesahan terhadap portfolio berkenaan yang sempat beliau galas selama beberapa minggu sebagai Menteri Kanan Luar Negeri sebelum ini, dibuat pada Sidang Khas MKN hari ini.

“Antara arahan utama yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya sebentar tadi adalah untuk menilai dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan sebelum ini dari semasa ke semasa. 

“Saya percaya, ini merupakan kerja yang berterusan dan memerlukan pendekatan yang inklusif, dan saya sentiasa berbesar hati dan bersedia untuk membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas demi memenuhi kepentingan bersama,” katanya dalam sidang media khas di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam usaha menuju ke arah fasa endemik bermula hujung Oktober ini, adalah amat penting untuk pendekatan secara menyeluruh dilaksanakan bagi menentukan SOP yang dapat melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Hishammuddin berkata memandangkan kajian SOP dibuat secara segera dan berterusan, beliau mengajak rakyat untuk memberikan maklum balas serta kritikan dan idea konstruktif mengenai SOP COVID-19 kepada MKN atau terus kepadanya.

Beliau berkata apa jua cadangan yang sampai kepadanya, akan dibawa ke Sidang Teknikal MKN dan akhirnya ke Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk dinilai dan diperhalusi, sebelum dikemas kini sebagai SOP baharu. – Bernama

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media khas di Wisma Pertahanan, semalam. – Bernama