Hitachi batal projek loji nuklear UK

TOKYO, 16 SEPT – Hitachi berkata hari ini ia akan menarik diri daripada projek loji tenaga nuklear bernilai berbilion pound di Wales, memetik persekitaran pelaburan yang teruk, dalam satu tamparan besar kepada cita-cita tenaga rendah karbon Britain.

Projek di Anglesey telah pun digantung selama 20 bulan ‘dan persekitaran pelaburan telah menjadi semakin teruk disebabkan impak COVID-19 baru-baru ini,’ kata firma Jepun itu dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata ia akan menyelaras bersama kerajaan UK dan yang lain mengenai nasib lesen dan tapak yang dirancang berikutan keputusan penarikan diri itu.

Rancangan syarikat gergasi industri Jepun untuk membina dua reaktor di tapak Wylfa Newydd di Wales telah ditangguhkan sejak Januari 2019 disebabkan isu pembiayaan.

Kos pembinaan kilang di Anglesey, di luar barat laut Wales, dianggarkan berjumlah 20 bilion pound. – AFP