Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
Berbekalkan kata-kata dan sebuah keyakinan diri dihiasi dengan kesabaran, itulah yang sentiasa mewarnai liku-liku insan yang berkerjaya sebagai pemandu pelancong dalam ‘menjual’ destinasi pelancongan domestik mahu pun antarabangsa kepada para pelancong yang menjadi pelanggan mereka.
Diibaratkan seperti ensiklopedia bergerak, menyimpan setiap maklumat mengenai sesuatu tarikan bagai berada di hujung jari.
Setiap kata-kata yang dicurahkan menjadi ‘magnet’ kepada ahli kumpulan tertentu sambil menyelusuri tempat-tempat menarik yang menjadi persinggahan.
“Sesuatu kerjaya yang tidak pernah diimpikan suatu ketika dahulu, namun lama-kelamaan hati dan jiwa ini semakin terjatuh cinta dalam menanai tugasan yang diamanahkan.
“Keseronokan semakin dirasai dari hari ke hari apabila berpeluang berinteraksi dengan orang ramai yang bukan hanya daripada kalangan masyarakat tempatan bahkan juga mereka yang terdiri daripada pelancong luar negara,” itulah antara perkongsian yang diungkapkan oleh Haji Hasnal bin Haji Abdul Kadir selaku salah seorang pemandu pelancong tempatan yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun di Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Setiap pertemuan tersimpan pengalaman berbeza
Melibatkan sebuah pekerjaan yang bermatlamat sebagai petunjuk arah dalam setiap pengembaraan, Haji Hasnal menjelaskan bahawa meskipun kebanyakan maklumat yang dikongsikan kepada mereka yang dipandu hampir sama dalam sesebuah destinasi namun hakikatnya setiap perjalanan dalam membawa mereka sama ada di tempat-tempat menarik dalam negara mahu pun luar negara sememangnya mewujudkan pengalaman yang berbeza-beza.
“Setiap soalan dan pemikiran yang diajukan pastinya memiliki nilai perspektif atau pandangan yang tersendiri. Pastinya dalam menanai kerjaya sebegini mestilah memiliki pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu perkara meliputi tempat-tempat yang dikunjungi seperti sejarah dan juga tidak ketinggalan meliputi aspek kebudayaan serta perkembangan yang lazimnya dimiliki oleh sesebuah masyarakat mahu pun setiap negara,” tambahnya dengan penuh keyakinan yang turut mengemukakan pengurusan masa secara efisien juga menjadi salah satu perkara yang perlu dititikberatkan dalam membawa rombongan pelancong agar waktu perjalanan bergerak seperti yang dirancang.
Pengalaman mendidik diri
Semestinya, pengalaman itu begitu mahal harganya. Dalam hal ini, Haji Hasnal menjelaskan bahawa daripada sesebuah pengalaman yang ditempuhi itu secara tidak langsung mampu mendidik diri untuk sentiasa memperbaiki kemahiran dari semasa ke semasa. Daripada sebuah persoalan yang diajukan oleh para pelancong itu sememangnya mampu mengembangkan minda kita untuk lebih menyelami lagi sesuatu perkara.
Ujarnya lagi, semakin banyak pengetahuan yang diperolehi dan semakin mudah tugas ini dapat dikendalikan. Begitulah detik-detik yang sentiasa mengalir dalam menjalankan kerjaya ini yang sekali gus sebagai pemangkin diri untuk menjadi lebih baik lagi.
Di samping itu, perlu menimba ilmu sebanyak-banyaknya menerusi bahan-bahan bacaan yang sahih serta juga melalui pelbagai kursus yang diketengahkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam bidang pelancongan seperti Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
“Begitu juga aspek keselamatan para pelancong perlu ditekankan setiap masa. Segalanya menjadi tanggungjawab yang begitu besar untuk dipikul dengan harapan kepuasan mereka dalam mengikuti pengalaman menerokai setiap destinasi pelancongan dapat dirasai dengan penuh kemanisan sehingga menjadi sebuah kenangan yang sukar dilupakan dalam kehidupan mereka masing-masing,” jelasnya dengan kerendahan hati.
Destinasi pelancongan domestik bergerak positif
Dalam pada itu, Haji Hasnal turut mengemukakan bahawa sememangnya destinasi pelancongan domestik ini bukanlah sesuatu perkara yang baru namun kini dilihat semakin bergerak positif, lebih-lebih lagi ketika negara dan dunia amnya dilanda krisis pandemik COVID-19. Namun segalanya dengan izin Allah, segala yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Dalam situasi masyarakat di negara ini yang terbatas untuk pergi ke keluar negara pada masa ini, ia secara tidak langsung membuka minda mereka untuk menerokai keindahan tempat-tempat menarik yang terdapat dalam negara yang sememangnya tidak kurang hebatnya seperti di negara-negara luar.
“Seperti yang kita lihat, keindahan alam semula jadi seperti menelusuri perairan Sungai Brunei, wasai dan bukit menjadi salah satu tarikan mereka untuk mengisi masa lapang menerusi aktiviti gaya hidup sihat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Begitu juga keistimewaan warisan budaya masyarakat etnik di negara ini misalnya menerokai keunikan rumah panjang. Selain itu, menjelajah variasi produk dan juga perkhidmatan para pengusaha tempatan menerusi majlis perundingan kampung di negara sememangnya menjadi destinasi lawatan yang begitu memberangsangkan dari semasa ke semasa,” jelas beliau lagi yang turut berkongsi kenangan manis membawa rombongan tempatan menunaikan haji dan umrah dan juga berkunjung ke negara-negara luar seperti Turki, China dan Jordan.
Biarlah kenangan istimewa diselami bersama
Di samping itu, Haji Hasnal juga turut berkesempatan berbagi nasihat kepada sesiapa yang berkeinginan untuk meniti kerjaya sebagai pemandu pelancong mahu pun mereka yang baharu berkecimpung dalam bidang ini untuk sentiasa menyemai disiplin yang tinggi meliputi kecekapan dan ketepatan masa dalam menjalankan tugas yang diberikan.
“Menimba ilmu sebanyak-banyaknya menerusi bahan-bahan bacaan yang sahih serta sentiasa kreatif dalam mencurahkan maklumat kepada para pelancong agar suasana pengembaraan dalam setiap destinasi yang dituju sama ada dalam dan juga luar negara itu dapat dinikmati bersama sehingga mampu melakar kenangan terindah yang begitu istimewa dalam lubuk sanubari mereka,” ujarnya dengan nada ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.