HK benarkan kanak-kanak divaksin

HONG KONG, 10 JUN – Hong Kong akan membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas untuk menerima vaksin koronavirus Pfizer ketika ia berusaha meningkatkan kadar imunisasi di bandar raya itu.

Pegawai kerajaan hari ini mengatakan mereka menawarkan vaksin kepada kira-kira 240,000 kanak-kanak berusia 12 sehingga 15 tahun bermula esok, menyertai negara-negara lain yang memulakan vaksinasi kanak-kanak.

Langkah itu dibuat ketika Hong Kong mendesak 7.5 juta penduduknya untuk mendapatkan inokulasi. Semenjak kempen vaksinasinya bermula lewat Februari, hanya 15 peratus daripada populasinya divaksin penuh.

Wilayah itu menyaksikan sikap keberatan penduduknya mendapatkan vaksin kerana ketidakpercayaan terhadap kerajaan dan kebimbangan melampau kesan sampingan selepas beberapa orang mati susulan inokulasi meskipun kematian itu tidak berkaitan langsung dengan vaksin.

“Kerajaan menekankan kepentingan orang dewasa dan pelajar divaksin dan harapan kerajaan agar lebih ramai pelajar, ibu bapa dan guru akan divaksin,” kata Setiausaha bagi Perkhidmatan Awam, Patrick Nip. Memandangkan mereka berusia bawah 18 tahun, kanak-kanak mesti mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum mereka boleh divaksin.

Menteri Kesihatan Sophia Chan menggesa ibu bapa membenarkan kanak-kanak divaksin bagi ‘membantu mereka kembali ke sekolah dan menjalani kehidupan normal secepat mungkin.

Pelajar di sekolah tadika sehinggalah peringkat rendah pada masa ini hanya menghadiri kelas setengah hari sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan semasa pandemik.

Wilayah separa autonomi itu menawarkan vaksin Pfizer – lebih dikenali sebagai BioNTech di bandar itu dan juga vaksin buatan China, Sinovac.

Pegawai Hong Kong menggesa mereka yang ingin menerima vaksin Pfizer mesti melakukannya sebelum vaksin itu luput tarikhnya pada hujung Ogos kelak dan pusat vaksinasi memberikan vaksin Pfizer akan berhenti beroperasi dalam September. – AP

Pelajar memakai penutup mulut dan hidung bagi mencegah penularan koronavirus, menyeberangi sebatang jalan di Hong Kong, 10 Jun. Hong Kong mengumumkan bahawa ia akan meluaskan vaksinasi ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas bermula esok. – AP