HK kembali bergolak

HONG KONG, 15 SEPT – Polis anti rusuhan menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah penyokong tegar demokrasi yang melempar batu dan bom petrol hari ini, menyebabkan bandar raya itu kembali dilanda kekecohan.

Ratusan ribu penduduk tanpa menghiraukan arahan pihak berkuasa berarak menuju jalan utama dalam perhimpunan hari ini, iaitu siri terbaharu dalam bantahan yang sudah tercetus sejak 99 hari lalu.

Perarakan terbabit bertukar ganas apabila sekumpulan kecil aktivis tegar yang terkenal dengan gerakan berani cuba menyerang kompleks utama kerajaan di bandar itu.

Polis melepaskan beberapa tembakan gas pemedih mata dan menggerakkan trak meriam air selepas peserta bertindak melempar koktel Molotov dan batu ke arah penghadang keselamatan.

Keganasan berkenaan mengakhiri suasana tenang beberapa hari yang wujud antara polis dan penunjuk perasaan baru-baru ini.

Hab antarabangsa yang satu ketika dulu sentiasa tenang diselubungi perhimpunan menuntut pembaharuan demokrasi dan sifat lebih bertanggungjawab oleh anggota polis.

Gerakan terbabit adalah cabaran terbesar China sejak bandar itu diserahkan semula oleh kerajaan British pada 1997.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani bersama Britain sebelum penyerahan, Hong Kong dibenarkan mengamalkan kebebasan unik mereka selama 50 tahun.

Aktivis bagaimanapun menuduh Beijing melanggar perjanjian itu dengan mengetatkan kawalan politik ke atas wilayah separuh autonomi terbabit. – AFP

Para pembantah pro-demokrasi melemparkan koktel Molotov dan batu ke arah penghadang keselamatan di luar bangunan ibu pejabat kerajaan di Hong Kong, kelmarin. – AFP