HK, Korea S mulakan kempen imunisasi

HONG KONG, 26 FEB – Hong Kong dan Korea Selatan hari ini memulakan kempen imunisasi COVID-19 ketika momentum bagi inokulasi digiatkan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Korea Selatan merancang untuk menginokulasi 70 peratus populasinya dalam masa tujuh bulan manakala Hong Kong berhasrat memvaksin semua orang dewasa menjelang hujung tahun ini.

Hong Kong dan Korea Selatan merupakan antara yang pertama berdepan penularan koronavirus selepas ia merebak dari tengah China awal tahun lalu.

Namun mereka berjaya mengekalkan jangkitan yang rendah kerana langkah-langkah kuarantin yang ketat bagi ketibaan, secara meluas mematuhi langkah-langkah penjarakan fizikal dan program kesan dan uji yang efektif.

Kempen imunisasi terkini itu dibuat selepas New Zealand dan Australia melancarkan inokulasi COVID-19 mereka pada hujung minggu ini. Meskipun Amerika Syarikat dan Eropah sudah pun segera memvaksin berjuta-juta rakyatnya, banyak tempat di Asia Pasifik yang memerangi pandemik itu dengan lebih baik, mengambil pendekatan lebih perlahan untuk melancarkan suntikan vaksin.

Meskipun China setakat ini memberikan jumlah dos kedua tertinggi di dunia kepada 40 juta orang, ia gagal mencapai matlamatnya untuk memvaksin 50 juta orang sebelum pertengahan Februari.

Dalam usaha merangsang keyakinan awam, Korea Selatan menyiarkan secara langsung suntikan pertama vaksin di pusat kesihatan awam di Seoul pagi ini, dengan Presiden Moon Jae-in menyaksikannya.

Di Hong Kong pula, suntikan pertama diberikan kepada orang awam, namun pegawai mungkin berdepan tugasan sukar memujuk penduduknya untuk mengambil suntikan vaksin buatan China, Sinovac di bandar yang ketidakpercayaan awamnya terhadap Beijing masih mendalam. – AFP

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in (kanan) menyaksikan seorang doktor menerima suntikan vaksin AstraZeneca di pusat kesihatan awam di Seoul, 26 Februari. Hong Kong dan Korea Selatan memulakan kempen vaksinasi mereka dengan harapan ia akan memulihkan keadaan kepada normal menjelang akhir tahun. – AP