HONG KONG, 14 JAN – Hong Kong hari ini mengumumkan larangan kemasukan penumpang dari lebih 150 buah negara yang membuat persinggahan di lapangan terbang mereka ketika China meningkatkan sekatan langkah perjalanan antivirus yang ketat menjelang Sukan Olimpik musim sejuk.
Langkah tersebut menjejaskan lagi kedudukan Hong Kong yang semakin terpinggir daripada dunia ketika Beijing cuba membendung penularan Delta dan Omicron melalui strategi ‘sifar-COVID’.
Sama seperti di tanah besar China, Hong Kong mengekalkan beberapa langkah paling ketat sepanjang pandemik – termasuk tempoh kuarantin lebih lama, perintah berkurung bersasar dan ujian saringan besar-besaran.
Hab perniagaan China itu membahagikan wilayah mengikut kategori berdasarkan penularan jangkitan COVID-19, dengan 153 buah negara ketika ini diklasifikasikan sebagai Kumpulan A – yang mana para pengembara baru tiba mesti menjalani pengasingan diri selama 21 hari.
Lapangan terbang Hong Kong berkata sesiapa yang menghabiskan tempoh tiga minggu kebelakangan di mana-mana negara yang disenaraikan akan dihalang daripada membuat persinggahan sejak Ahad.
Lapan negara dalam Kumpulan A termasuk Australia, Kanada, Perancis, India, Filipina, Pakistan, Britain dan Amerika Syarikat sudah dilarang sepenuhnya daripada memasuki Hong Kong.
Bandar tersebut berusaha mengawal penularan kecil varian Omicron yang bermula sejak kru penerbangan Cathay Pacific melanggar perintah kuarantin.
Ia telah melaksanakan semula peraturan penjarakan sosial yang ketat, termasuk menutup gim dan tidak membenarkan pengunjung makan di restoran selepas 6 petang, dan dikatakan Cathay Pacific akan dikenakan tindakan undang-undang. Cathay Pacific sudah membuat penerbangan ke sebahagian kecil laluan pra pandemik dan kebanyakannya adalah penerbangan persinggahan jarak jauh melalui bandar rayanya.
Syarikat penerbangan lain secara dramatik mengelak laluan ke Hong Kong atau mengelaknya sama sekali kerana peraturan kuarantin.– AFP