HK tutup semula sekolah

HONG KONG, 10 JULAI – Hong Kong akan menutup semua sekolah selepas wilayah itu merekodkan lonjakan kes penularan tempatan Koronavirus.

Menteri Pendidikannya, Kevin Yeung, berkata kerajaan negara itu sudah mengarahkan semua sekolah ditutup bermula Isnin ini, dengan permulaan cuti musim panas diawalkan, selepas bandar itu mencatatkan ‘peningkatan mendadak’ kes penularan tempatan sejak beberapa hari lalu.

Hab kewangan itu merekodkan 34 kes penularan tempatan kelmarin, jumlah kes harian tertinggi dalam tempoh lebih tiga bulan.

Yeung berkata, pihak berkuasa sudah mengambil langkah bagi kebaikan masyarakat dan kesihatan pelajar.

Beliau berkata, pelajar yang dijadualkan mengambil peperiksaan boleh meneruskannya, walaupun mereka perlu memakai penutup mulut dan hidung serta mengekalkan penjarakan sosial.

Sekolah tinggi awam di Hong Kong ditutup pada Januari lalu pada peringkat awal penularan virus berkenaan dan dibuka semula secara berperingkat bermula Mei, selepas wilayah itu berjaya membendung jangkitan baharu.

Bagaimanapun, kluster baharu muncul sejak dua hari lalu, termasuk membabitkan sebuah rumah jagaan warga emas yang melaporkan sekurang-kurangnya 32 kes. – AFP