HONG KONG, 19 OKT – Ketua Hong Kong hari ini mengumumkan skim visa baharu untuk menarik pakar global, ketika bandar itu berusaha untuk membendung penghijrahan cendekiawan yang telah mempertaruhkan statusnya sebagai pusat kewangan antarabangsa.
Ketua eksekutif, John Lee berkata Skim Pas Berbakat itu akan membolehkan mereka yang menerima gaji tahunan AS$318,472 atau lebih dan graduan dari universiti terkemuka dunia untuk bekerja atau mencari peluang pekerjaan di bandar itu selama dua tahun.
Usaha tersebut adalah untuk menarik tenaga kerja yang berbakat supaya datang ke Hong Kong ketika ratusan ribu orang penduduk telah meninggalkan bandar itu sejak beberapa tahun kebelakangan, yang didorong oleh tindakan keras politik dan sekatan kebebasan berikutan pelaksanaan undang-undang keselamatan kebangsaan yang ketat, serta sekatan kemasukan yang ketat disebabkan COVID yang dilakukan sebahagian besar tempoh pandemik.
Sejak dua tahun lalu, tenaga kerja bandar itu menyusut kira-kira 140,000 orang, ujar Lee.
“Kami mesti lebih proaktif dan agresif dalam bersaing bagi peniagaan dan bersaing bagi mencari bakat kerja,” kata Lee semasa ucapan dasar sulungnya hari ini. “Selain memupuk dan mengekalkan bakat tempatan secara aktif, kerajaan akan secara aktif mencari bakat kerja dari seluruh dunia.”
Dia turut mengumumkan mengenai cadangan – termasuk potongan cukai dan memudahkan proses mengambil pekerja asing – untuk meningkatkan daya saing bandar itu, selepas sekatan koronavirus yang menjejaskan ekonomi tempatan dan membuatkan golongan profesional meninggalkan bandar itu.
Warga asing yang membeli rumah baharu boleh menerima bayaran balik sebahagian daripada cukai – yang dikenakan ke atas pembelian hartanah – bagi pembelian hartanah kediaman pertama mereka apabila mereka menjadi penduduk tetap. – AP