HK wajibkan kuarantin tiga minggu semua pelancong

HONG KONG, 25 DIS – Hong Kong melanjutkan tempoh wajib kuarantin daripada 14 hari kepada tiga minggu membabitkan hampir semua pelancong dan pengunjung antarabangsa bermula hari ini.

Langkah itu disifatkan penting bagi mencegah varian baharu COVID-19 yang dilaporkan lebih tinggi kadar jangkitannya.

Menurut kerajaan, kumpulan pakar menjangkakan tempoh inkubasi bagi virus terbabit adalah lebih 14 hari bagi sesetengah pesakit.

Justeru, pengunjung dari luar perlu menjalani kuarantin wajib di kemudahan hotel yang dikhaskan selama tiga minggu berbanding dua minggu sebelum ini.

Hanya pengunjung yang tiba dari Tanah Besar China, Macau, Taiwan dikecualikan daripada peraturan sekatan lebih ketat itu. – AFP

Dua wanita memakai penutup mulut dan hidung bertema Krismas berswafoto di hadapan sebuah kompleks membeli-belah di Hong Kong. Wilayah itu kelmarin mewajibkan kuarantin tiga minggu bagi semua pelancong dari luar negara. – AFP