Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    HN FT ungguli kejohanan futsal veteran

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – HN FT menggandakan kejuaraan mereka dengan memenangi Piala FA 88 Veteran Brunei dan Liga Futsal Veteran 2020 selepas berjaya menewaskan Waza FT 3-0 di perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas kelmarin.

    Juara liga tersebut memulakan perlawanan dengan baik sejurus selepas Zulkifli Haji Mohammad menjaringkan gol pertama menerusi hantaran Irwan Muhammad.

    Jaringan kedua berjaya dijaringkan oleh Irwan sebelum Mohammad Sufri Tanjung menjaringkan gol ketiga dari jarak dekat dan memberi kemenangan selesa buat HN FT.

    HN FT telah dinobatkan sebagai juara bagi kejohanan Liga Futsal 88 Veteran selepas berjaya mengumpul 19 mata di puncak liga, dengan jurang lima mata daripada pesaing terdekat mereka.

    Tiga pasukan berkongsi 14 mata, di mana Pasukan Thai sebagai naib juara dengan kelebihan jumlah gol manakala Diamond FT berada di tempat ketiga.

    Pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan tersebut bergambar ramai bersama trofi kemenangan dan pingat.

    Mohammad Noor Tanjung dari Pasukan Thai memenangi anugerah penjaring terbanyak selepas meraih sembilan gol bagi Liga Futsal 88 Veteran Brunei manakala Zulfikri bin Haji Masri dari HN FT dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik.

    Sofri Yahya dari SS FT memenangi anugerah pemain terbaik bagi Kategori A manakala Ahzaman Muhammad dari Pasukan Thai sebagai pemain terbaik bagi Kategori B.

    Sementara itu, untuk Piala FA 88 Veteran Brunei, empat gol daripada Haji Kula bin Mohammed yang telah membawa pasukannya ke perlawanan akhir telah memenangi anugerah penjaring terbanyak.

    Manakala rakan sepasukannya, Endy Vyzunny bin Haji Zainuddin telah dinobatkan sebagai pemain terbaik.

    Kejohanan yang dianjurkan oleh MediaExpert dan Karak Futsal, menampilkan lapan pasukan iaitu HN FT, Pasukan Thai, Diamond FT, SS FT, Samudra RSC, Waza FT, MBS United dan MSSF FT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda