KUALA LUMPUR – Hoarder dan pengumpul (collector) memiliki perbezaannya tersendiri. Ini kerana hobi mengumpul barang (collector) lebih menjurus kepada mengumpul barang tertentu sahaja seperti koleksi patung watak adiwira, komik zaman kanak-kanak, koleksi pinggan mangkuk dan sebagainya.
Berbeza pula dengan hoarder ia merupakan satu penyakit yang dipanggil hoarding disorder yang mana suka menyimpan barang, terlalu tinggi keinginan terhadap sesuatu barangan dan sukar untuk membuang sesuatu barang kepunyaan yang kononnya memiliki nilai sentimental, tanpa mempedulikan nilai barang tersebut walaupun sudah rosak atau berusia bertahun-tahun lamanya sehinggakan menyebabkan adanya tumpukan barang yang sulit dirapikan.
Seperti mana yang dialami oleh Mikayla Razali, 27, terhadap suaminya Izham (bukan nama sebenar) yang suka menyimpan barang dan lebih merimaskan, suaminya itu enggan membuang barang walaupun tidak boleh lagi digunakan sehingga menimbulkan ‘semak’ di rumahnya.
“Pernah saya jumpa buku latihan dia masa tingkatan lima dulu. Bila saya tanya kenapa tak buang, dia kata sayang. Dia pernah mengamuk sebab saya buang reket tenis dia yang dah patah.”
Bercerita lebih lanjut kepada media, beliau berkata walaupun tersimpan kemas di dalam kotak atau bekas khas, namun siapa yang boleh tahan jika saban tahun, jumlah kotak barangan ‘tidak berguna’ semakin bertambah, hingga terpaksa disusun meninggi sehingga ke siling.

Pada mula, Mikayla menyangka suaminya seorang pengumpul barang tetapi berasa pelik apabila dia turut mengumpul serta menyimpan barang yang patah atau rosak. Apa yang dirisaukannya terjawab apabila membaca artikel mengenai hoarders dan hoarding disorder pada tahun lepas.
Hoarder memiliki kaitan dengan psikiatri, yang mana boleh memberikan efek negatif terhadap emosional, fizik, sosial, kewangan dan sebagainya. Itulah yang dikhuatirkan oleh Mikayla terhadap suaminya yang sudah sering dipujuknya untuk mendapat rawatan pakar sakit jiwa.
Ambil masa terima hakikat diri alami Hoarders
Bagi Zarimah Ishak, 24, dia mula mengesan dirinya suka menyimpan barang sejak berumur 10 tahun dan ia berterusan sehingga kini. Selain menyimpan barang yang dibeli semasa mula-mula belajar di kolej, beliau juga menyimpan barangan semasa di sekolah rendah.
Tabiat ini membuatkan dia bukan sahaja sering bergaduh dengan teman serumah malah ahli keluarganya sendiri.
“Cuma apabila sudah bekerja, ada rakan sepejabat yang kesan aktiviti pelik saya ini dan nasihatkan saya untuk berjumpa pakar. Memang susah hendak terima hakikat yang diri ini ada penyakit tetapi atas nasihat rakan-rakan, saya beranikan diri jumpa pakar. Alhamdulillah, sudah ada nampak perkembangan,” katanya yang masih mendapatkan rawatan di salah sebuah pusat rawatan psikiatri dan kaunseling di selatan Malaysia.
Lebih menarik, penyakit yang sering dikaitkan dengan golongan warga emas ini turut ditanggung oleh golongan muda dan berkerjaya. Malah pakar dari sebuah organisasi kitar semula, Prof Madya Dr Richard Ng yang dipetik menerusi satu laporan media berkata, satu dalam 50 penduduk di Malaysia berkecenderungan menjadi hoarders.
Beliau yang merupakan pengerusi Koperasi Alam Hijau Perak Bhd (Kohijau) berkata realiti tersebut dapat dilihat apabila pihaknya membuat lawatan dari pintu ke pintu ketika kempen menangani denggi.
“Tindakan susulan perlu diambil apabila mengesan mereka yang mengalami penyakit ini kerana ia boleh mengancam keselamatan diri atau masyarakat setempat.
“Golongan ini juga perlu dikendalikan oleh mereka yang pakar seperti kaunselor atau pakar psikiatri,” beliau dipetik sebagai berkata.
Bagi ketua Unit Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad, hoarding disorder boleh berlaku kepada sesiapa dan gejala biasa yang boleh dikenal pasti adalah, ‘penghidapnya’ tidak boleh berpisah daripada barang-barang yang boleh dianggap tidak bernilai dan tidak berguna.
Boleh berlaku pada usia muda
Berdasarkan kajian yang meluas berkaitan penyakit hoarding ini, ia selalunya berlaku pada usia muda. Menurut Dr Fauziah, keadaan akan menjadi lebih teruk dengan peningkatan umur malah ia boleh diwarisi.
“Lebih menarik, penyakit ini disenaraikan dalam The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5) sebagai penyakit kesihatan mental,” jelasnya.
Menurut beliau antara rawatan yang sesuai ialah cognitive behavior therapy (CBT) di mana ahli terapi membantu mengurangkan rasa gelisah.
“Sesi terapi yang dijalankan iaitu antara lapan dan 10 sesi itu akan turut mengajar penghidap penyakit tersebut menyusun barang dengan teratur.
“Ini penting kerana penghidap beranggapan barangan tersebut berguna di masa hadapan dan perlu menyelamatkannya. Bukan itu saja, mereka ini sentiasa mempunyai keinginan menambah barang-barang tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, pakar Psikoterapi dan Kaunseling, (Kemurungan dan Kebimbangan) Access Counselling Services, Dr Meriam Omar Din berkata, membeli-belah secara dalam talian dan penggunaan kad kredit juga boleh menambah keinginan yang membuak-buak untuk hoarders membeli barangan.
Beliau bagaimanapun berpandangan hoarders bukan berkaitan dengan belian barangan baharu tetapi lebih kepada sayang barangan lama. – Bernama/Agensi




























