Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Hobi penyeri jiwa yang lara

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dalam menjalani kehidupan di dunia yang penuh dugaan ini, tidak kiralah sama ada dugaan tekanan di tempat kerja, cabaran kehidupan dalam perhubungan mahupun persekitaran sekeliling mampu memberikan impak ketidaktenteraman kepada diri kita.

    Namun, ketenangan itu tidak akan datang dengan sendirinya jika bukan kita yang mencari. Terdapat banyak hal yang dapat dilakukan untuk mencari ketenangan hati dan fikiran salah satunya menerusi hobi.

    Bagaikan penyeri sebuah kehidupan, setiap orang pasti mempunyai hobi yang dilakukan pada waktu senggang. Walau apa jua hobi yang dilakukan pastinya berlandaskan minat yang terlahir dari jiwa, di mana timbulnya bibit-bibit kepuasan dan keseronokan sehingga mampu menenangkan diri sejenak dengan pelbagai kesibukan harian.

    Barangan antik bagai teman sejati

    Aktiviti mengumpul barang-barang antik dianggap sebagai salah satu hobi yang sememangnya bagaikan teman sejati para penggemarnya yang kebiasaannya tersimpan banyak kenangan padanya.

    Meliputi barangan masyarakat sewaktu zaman silam yang sudah berusia, yang wujud sekitar puluhan tahun malah ada juga yang mencecah ratusan tahun atau lebih itu antaranya seterika arang, celapa, lampu minyak, piring, tindulang, tajau, duit syiling dan sebagainya.

    Melihat keindahan tumbuh-tumbuhan yang segar dan mekar mampu menenangkan jiwa dan raga dalam meniti kehidupan sehari-hari.
    Aktiviti mengumpul barang-barang antik dianggap sebagai salah satu hobi yang sememangnya bagaikan teman sejati para penggemarnya yang kebiasaannya tersimpan banyak kenangan padanya.
    Menerokai keindahan khazanah alam semula jadi bukan sahaja memberikan keseronokan tetapi juga memupuk amalan gaya hidup sihat. – Gambar fail

    Tersimpannya pelbagai koleksi barang-barang lama, bukan hanya didasari atas rasa minat semata-mata bahkan sesetengah penggemar juga mempunyai tujuan untuk membantu memelihara barang-barang lama dengan baik bagi mengekalkan keunikannya, nilai sejarah, warisan dan budaya sehingga sedikit sebanyak menjadi khazanah berharga untuk ristaan generasi yang akan datang.

    Bak kata orang, tiada lama, tiadalah yang baharu jadi menjadi tanggungjawab generasi muda untuk menyimpan dan menjaganya dengan sebaiknya. Selain itu, hobi mengumpulkan barangan antik juga sangat berfaedah.

    Penggemar hobi ini akan mendapat kepuasan tersendiri daripada barangan antik yang dikumpulkan sehingga mampu mencetus keuntungan jika menjual barangan antik tersebut kerana barangan antik itu semakin tua usianya maka semakin tinggi harga dan nilainya.

    Mekarnya mencoret cahaya ketenangan

    Merasa detik-detik kedamaian dan ketenangan hanya dengan melihat keindahan tumbuh-tumbuhan yang segar dan mekar lebih-lebih lagi di kala jiwa dan raga terasa letih, begitulah yang dapat dinikmati bagi insan-insan pencinta bunga-bungaan sebagai hobi dalam meniti kehidupan sehari-hari.

    Tanpa mengira siang dan senja, seperti menjaga naluri hati daripada segala keburukan, samalah juga segala jenis bunga-bungaan perlu dijaga dengan penuh kasih sayang. Indah bentuk dan coraknya mampu mencoretkan cahaya ketenangan dan kegembiraan di hati ini.

    Begitu juga hakikat bunga-bungaan seperti orkid, mawar, kaktus dan sukulen dan sebagainya di halaman rumah, apabila dibelai dengan penuh kasih sayang, ia akan mekar dan kelihatan cantik dan ceria. Seandainya tidak maka layulah bunga-bungaan itu dan rosaklah sebuah cinta sejati padanya.

    Jiwa bersatu bersama khazanah alam

    Sesetengah orang menganggap aktiviti lasak mendaki bukit sebagai satu hobi bersama keluarga, saudara mara serta sahabat handai. Ia merupakan satu aktiviti yang bukan sahaja memberikan keseronokan tetapi juga memupuk amalan gaya hidup sihat.

    Meskipun dibasahi titisan peluh di bawah pancaran terik matahari, berbekalkan sebuah rasa keghairahan di jiwa, insan bergelar pendaki sentiasa yakin meneruskan langkah meniti jalan berliku-liku.

    Kepenatan pasti terasa dan kadangkala timbul juga rasa putus asa dalam diri, namun mereka tetap bertahan dan berjuang demi satu matlamat dalam mengamalkan gaya kehidupan yang sihat.

    Pastinya, keseronokan dan kepuasan ini tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata selepas berjaya menjejaki, mendaki dan merentasi laluan sukar yang memiliki pemandangan indah ciptaan Allah SWT dengan khazanah kehijauan alam semula jadi yang begitu menakjubkan dari puncaknya. Lebih-lebih lagi dengan adanya keindahan panorama air terjun yang sungguh mempesona yang apabila dinikmati seketika deruan aliran air yang dingin itu mampu memberikan kesegaran diri.

    Perlunya keseimbangan hidup

    Hobi seseorang itu memiliki variasi tertentu yang berawal dari ‘suka-suka’ menjadi ‘minat’ sehingga rata-rata mampu mencetuskan sebuah kegembiraan dan ketenangan peribadi.

    Ada yang gemar mencurahkan ekspresi diri menerusi seni lukisan malah dalam seni hiburan seperti nyanyian dan bermain alat muzik.

    Benar tiada kehidupan yang sempurna kerana lumrah manusia memiliki pasang surut dalam melayari bahtera kehidupan. Namun hakikatnya apa yang kita perlukan dalam kehidupan adalah keseimbangan hidup.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...