Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hobi sejak muda simpan barang antik

    TAWAU – Sebuah rumah kayu di Kampung Batu Payung nampak seperti rumah biasa, namun kediaman milik Sabturani Angsa itu menjadi tarikan ramai termasuk pelancong luar negara, apabila menempatkan pelbagai koleksi antik dari 1924 hingga 1990 serta foto-foto sejarah daerah itu.

    Sabturani, 75, atau mesra dipanggil Pakcik Om berkata koleksi, antaranya hasil sumbangan keluarga, kawan dan penduduk kampung itu, mempunyai cerita tersendiri selain menjadi bahan didik terutama untuk anak muda tentang warisan serta sejarah, sekali gus menyemai semangat cintakan negara.

    Katanya, terdapat lebih 50 koleksi barangan antaranya signal rumah api dari 1924, basikal lumba Raleigh (1950), lampu sorot British Bullfinch (1950), seterika tembaga, pengisar kopi, kipas tahun 1941, alat telefon sebelum Perang Dunia Kedua, selain foto termasuk foto tentera Jepun menyerah diri kepada tentera Bersekutu (1945) dan menaiki kapal pulang ke negara asal.

    “Ini hobi saya sejak muda lagi, orang lama boleh imbau kembali zaman dahulu apabila melihat barang antik, foto lama dan generasi kini pula boleh melihat, menyentuh dan mendengar cerita, sejarah mengenai koleksi antik atau foto yang terdapat di rumah ini.

    “Kalau bercakap saja mungkin orang kurang percaya, tetapi kalau ada koleksi seperti di rumah ini, ada bukti. Inilah sumbangan yang saya dapat lakukan untuk negara kita Malaysia, menyimpan sejarah sebuah negara untuk tatapan dan pengetahuan generasi seterusnya,” katanya kepada Bernama.

    Sabturani Angsa berkata koleksi foto bersejarah dipaparkan di rumah itu turut membuktikan keberadaan Jepun di Tawau serta memberi jawapan kepada kewujudan nama-nama jalan seperti Kabota, Kuhara, Yamamoto, Takada di daerah itu. – Gambar Bernama
    Rumah Khazanah USBA, yang membawa maksud Usaha Sabturani bin Angsa itu dikunjungi lebih 2,000 pelancong dalam dan luar negara seperti Jepun, Thailand, Taiwan, Kanada dan Amerika Syarikat sejak dibuka kepada orang ramai pada 2013. – Gambar Bernama

    Menurutnya, rumah dikenali dengan nama Rumah Khazanah USBA, yang membawa maksud Usaha Sabturani bin Angsa itu dikunjungi lebih 2,000 pelancong dalam dan luar negara seperti Jepun, Thailand, Taiwan, Kanada dan Amerika Syarikat sejak dibuka kepada orang ramai pada 2013.

    Beliau berkata koleksi foto bersejarah yang telah dipaparkan di rumah itu turut membuktikan keberadaan Jepun di Tawau serta memberi jawapan kepada kewujudan nama-nama jalan seperti Kabota, Kuhara, Yamamoto, Takada di daerah itu.

    “Mudah-mudahan rumah khazanah ini mampu mengumpulkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama ke sini untuk menyemai rasa cinta, mengenali Tawau, jangan ada rasa perkauman,” katanya.

    Selain Rumah Khazanah USBA, Pakcik Om berkata Kampung Batu Payung mempunyai potensi pelancongan kerana mempunyai keunikan tersendiri seperti terdapat bongkah besar batu yang menyerupai katak, penyu, ikan yu, gajah dan singa.

    Bercerita mengenai Hari Malaysia, Pakcik Om menyifatkan tarikh 16 September 1963 sebagai satu kebanggaan apabila pelbagai cabaran ditempuhi generasi terdahulu bagi menjadikan Malaysia seperti yang ada pada hari ini.

    “Pada malam itu (pengisytiharan pembentukan Malaysia), saya sungguh teruja sekali, bersama abang menaiki bas dari Batu Payung yang dipandu pakcik saya ke Padang Bandaran Tawau, sungguh meriah, beribu-ribu orang,” katanya.

    Menurutnya kemeriahan orang ramai dalam memorinya itu amat mirip dengan suasana pada keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Tawau dalam Kembara Kenali Borneo. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda