Thursday, August 18, 2022
23.2 C
Brunei

Hobi tanam sayur kini jadi pendapatan sampingan

-

MELAKA – Bermula sekadar hobi bagi mengisi masa lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mei tahun lepas, kini aktiviti menanam sayur memberi pendapatan sampingan buat dua sahabat Nurul Ashikin Abdul Halim, 28, dan Norhaya Jamal, 38.

Nurul Ashikin berkata bermodalkan RM50, mereka mula menanam sayur menerusi teknik hidroponik menggunakan bahan kitar semula seperti botol, gabus dan besen di belakang rumah mereka, di Kampung Tambak Sebelong di sini.

Walaupun usaha tersebut tidak menjadi pada mulanya, penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia Melaka itu berkata mereka tidak berputus asa dan selepas mengikuti kursus tanaman hidroponik di Bukit Durian di sini, tanaman sawi dan bayam mula mengeluarkan hasil.

“Kami sangat teruja dan gembira apabila tanaman membuahkan hasil dalam tempoh dua minggu lebih, sekali gus memberi semangat untuk kami terus bercucuk tanam pelbagai sayur-sayuran, menggunakan kaedah hidroponik dan pasu.

“Mulanya hasil tanaman berkenaan digunakan sendiri untuk memasak dan diberikan kepada jiran dan saudara-mara terdekat. Sambil bercucuk tanam sambil berkongsi rezeki dan kini ia menjadi sebahagian pendapatan sampingan, apabila sayur berkenaan dijual secara kecil-kecilan kepada kenalan terdekat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Nurul Ashikin Abdul Halim memeriksa cili hijau yang ditanam di rumahnya di Kampung Tambak Sebelong di sini. – Bernama
Bermula sekadar hobi menanam sayur-sayuran bagi mengisi masa lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mei tahun lepas, kini aktiviti itu menjadi sebahagian daripada pendapatan sampingan buat Nurul Ashikin dan rakannya, Norhaya Jamal. – Bernama

Nurul Ashikin berkata sehingga kini mereka tidak lagi membeli sayur-sayuran seperti sawi, bayam, terung panjang dan bulat, bendi merah dan hijau, tomato, bayam Brazil, kubis bunga, daun sup, cili padi, cili hidup, bunga telang dan cili benggala di kedai atau pasar, kecuali jika sayur tersebut tidak ditanam, justeru secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan dapur.

Anak sulung daripada lima adik-beradik itu berkata daripada pendapatan tersebut, beliau dan Norhaya memperbesarkan skala tanaman mereka dengan membeli set hidroponik sebanyak 200 lubang, agar lebih banyak hasil dapat dikeluarkan.

“Secara keseluruhan, kami hanya berbelanja lebih RM3,000 sahaja untuk membeli pasu, tanah dan baja organik serta set hidroponik, tetapi nilai sayur-sayuran yang diperoleh dalam tempoh ini agak berbaloi.

“Tidak rugi berbudi pada tanah lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang banyak barangan keperluan dan sayur-sayuran naik harga dan jika kita rajin menanam, kita dapat hasilnya dan dapat jimatkan belanja,” katanya.

Nurul Ashikin yang berasal dari Kampung Sungai Burung, Sekinchan, Selangor itu berkata tanaman yang diusahakan mereka bebas racun serangga, selain menggunakan cuka kayu, bawang putih dan kulit telur bagi menghalau serangga perosak.

Katanya selain mengusahakan sayur-sayuran berkenaan, beliau dan Norhaya turut menjual tanah campuran untuk bercucuk tanam pada harga RM12 (10 kilogram) dan RM 10 (tiga paket).

Nurul Ashikin berkata mereka mengimpikan untuk membuat sebuah kebun terbuka di kawasan rumah mereka, dan memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkemampuan mendapatkan sayur-sayuran secara percuma.

“Kami berharap impian ini dapat dicapai pada masa akan datang kerana bukan sahaja dapat menikmati hasil sendiri tetapi juga dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Pelarian Rohingya tuntut persekitaran kondusif

DHAKA, 17 OGOS – Pelarian Rohingya kelmarin menggesa Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet yang melawat ke penempatan pelarian untuk PBB...
- Advertisment -