Hockademy sasar anjur lebih banyak festival hoki akar umbi

KUALA LUMPUR, 23 OGOS – Selepas berjaya dengan penganjuran julung kali Festival 5 Penjuru Hockademy, kelab Hockademy berhasrat menganjurkan lebih banyak program pembangunan peringkat akar umbi, di masa hadapan.

Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) yang juga pemilik kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata Hockademy menyasarkan untuk menganjurkan festival hoki seumpama itu tiga kali setahun.

Beliau berkata festival sedemikian akan memberi pelbagai pendedahan berguna, selain menanam minat pemain muda terhadap sukan hoki sekali gus secara tidak langsung dapat mengembangkan bakat dimiliki mereka.

“Festival hari ini mengikut konsep di Eropah iaitu tumpuan diberikan kepada pemain Bawah 12 Tahun (B-12) dan 14 Tahun (B-14) dan kita hanya nak pastikan pembangunan pemain muda tidak terhenti.

“Pasca COVID-19 banyak aktiviti tergendala, jadi kami harap usaha ini dapat bantu pemain muda yang ingin bermain hoki. Paling penting mereka tahu adanya peluang untuk mereka menonjolkan bakat,” katanya ketika ditemui pemberita pada festival itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini. – Bernama