Hoffenheim bangkit ikat Lyon

LYON, 8 Nov – Hoffenheim menghidupkan harapan mereka untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara susulan jaringan gol penyamaan dramatik, Pavel Kaderabek pada masa kecederaan untuk mengikat Lyon dengan jaringan 2-2.

Nabil Fekir dan Tanguy Ndombele masing-masing mencetak satu gol pada separuh masa pertama meletakkan Lyon mengusai permainan di Stadium Groupama.

Manakala Kasim Nuhu dilayangkan kad merah sejurus bermulanya separuh masa kedua dan memaksa Hoffenheim untuk beraksi dengan 10 pemain. Bagaimanpun Andrej Kramaric berjaya mencetak gol buat kelab dari Jerman itu, sekali gus meningkatkan semangat Hoffenheim untuk bangkit semula.

Kaderabek akhirnya menjadi wira Hoffenheim apabila berjaya meledak gol penyamaan pada minit kedua masa tambahan dan terus memberi harapan mengenai kemaraan pasukan itu dalam peringkat seterusnya.

“Kami tidak menyedari bahawa dalam perlawanan bola sepak, tiada apa pun yang selesai,” kata pemain tengah Lyon, Lucas Tousart kepada RMC Sport.

“Ini adalah kesilapan yang tidak boleh diterima, apabila anda mahu melayakkan diri, ia sangat menyakitkan untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri apabila kami menguasai permainan.”

Lyon ketinggalan tiga mata di belakang Manchester City yang berada di puncak Kumpulan F, setelah pasukan itu membelasah Shakhtar Donetsk 6-0 di Stadium Etihad.

“Kami bermain dengan baik, namun kami tidak memperoleh kemenangan dan kami kecewa,” kata Fekir.

“Kami mesti meneruskan semangat yang sama sebelum dua gol itu. Masih terdapat baki dua perlawanan, jadi matlamat kami belum selesai, dan ia terpulang kepada kami untuk belajar daripada kesilapan ini.” – AFP