Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Dalam usaha bagi meringankan bebanan golongan-golongan yang memerlukan ketika berhadapan wabak COVID-19 di negara ini, Persatuan Pemilik-pemilik Motorsikal Harley Davidson Brunei Chapter (HOGB Chapter) hari ini telah menyumbangkan barangan berupa keperluan asas dan harian bagi mereka yang memerlukan melalui Pihak Berkuasa bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).
Hadir bagi mewakili HOGB Chapter sekali gus menyampaikan sumbangan ialah Pengarah HOGB Chapter, Awang Abdul Malek bin Hamdani dan diterima oleh Pengarah Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Kolonel (B) Pengiran Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail pada majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Sumbangan Pandu Lalu, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Sumbangan merupakan hasil kutipan daripada ahli-ahli HOGB Chapter yang bermula pada bulan April lalu dengan jumlah $500.
Sementara itu, antara barangan yang disumbangkan ialah peralatan pembersih, cecair pencuci tangan, cecair pencuci lantai, tisu, penyapu tandas, makanan kering, minuman, makanan tin dan sebagainya.
Barang-barang tersebut diagihkan oleh para sukarelawan kepada orang-orang yang memerlukan termasuklah warga emas, ibu tunggal dan keluarga yang kurang berkemampuan melalui bantuan penghantaran daripada KKBS.
Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Ketua Pusat Operasi Pusat Sukarelawan Belia, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh dan Penolong Pengarah HOGB Chapter, Pengiran Haji Redzaidi bin Pengiran Haji Ahmad.





























