Hojbjerg ke Everton dengan perpindahan bernilai AS$31.5 juta

LONDON, 22 JULAI – Everton akan menandatangani kontrak dengan pemain antarabangsa Denmark, Pierre-Emile Hojbjerg dari Southampton dengan bayaran berjumlah £25 juta (AS$31.5 juta), menurut laporan kelab kelmarin.

Hojbjerg dilucutkan sebagai kapten di St Mary sebelum Liga Perdana Inggeris kembali semula bulan lalu kerana enggan melanjutkan kontraknya di Southampton.

“Hojbjerg telah mengunjung tempat latihan Everton dan bersetuju dengan bersyarat setelah Saints menerima tawaran £25 juta mereka,” kata Southern Daily Echo.

Tottenham juga berminat dengan bekas pemain tengah Bayern Munich itu tetapi dilaporkan tidak mahu menandingi bayaran yang ditawarkan oleh Everton.

Bayaran tersebut menunjukkan pengembalian wang lumayan Saints yang menandatangani pemain itu dengan harga £13 juta empat tahun yang lalu dengan berbaki 12 bulan dalam kontraknya.

“Dia tahu ada banyak kelab menginginkannya dan semoga kelab yang benar-benar mahukan dia menunjukkan bahawa mereka benar-benar menginginkannya. Jika tidak, dia tetap bersama kami,” kata bos Southampton, Ralph Hassenhuttl setelah kemenangan mereka menentang Bournemouth.

Namun, pemain berusia 24 tahun itu baru tiga kali diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dalam tujuh perlawanan sejak EPL kembali.

Harga yang dipersetujui menunjukkan bahawa kelab Inggeris masih bersedia mengeluarkan wang di pasaran perpindahan walaupun terdapat ramalan penurunan ekonomi kerana wabak COVID-19 dengan penyokong tidak mungkin dibenarkan masuk ke stadium sehingga Oktober. – AFP