Hoki M’sia dibelenggu kecederaan

KUALA LUMPUR, 8 OKT – Skuad Projek Khas Lelaki Malaysia menerima tamparan hebat apabila semakin ramai pemainnya dilaporkan mengalami kecederaan pada Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang sedang berlangsung ketika ini.

Pengendalinya, Wallace Tan yang bimbang dengan situasi semasa itu berkata dua lagi pemain mengalami kecederaan ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Kelab Hampstead & Westminster pada aksi keempat siri jelajah berkenaan yang berlangsung di Kelab Rekreasi Paddington, semalam. 

Wallace berkata keadaan bertambah buruk pada separuh masa kedua perlawanan sehingga beliau tidak dapat melakukan pertukaran pemain ekoran masalah kecederaan, seterusnya menjejaskan momentum anak buahnya dalam aksi berkenaan.

“Ini satu kerisauan bagi saya kerana ramai pemain yang mengalami kecederaan.

“Sebelum perlawanan hari ini, empat pemain tidak boleh bermain termasuk Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Saifuddin Azli, Muhammad Arif Shafie Ishak dan Muhammad Hafizi Zainuddin.

“Selepas tamat perlawanan, seorang dua lagi pemain mengalami kecederaan ekoran permainan agresif dan ia merisaukan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama