Hokkaido isytihar darurat koronavirus

TOKYO, 28 FEB – Rantau Hokkaido di Jepun pada hari ini meminta penduduknya supaya tinggal dalam rumah pada hujung minggu tatkala kawasan utara itu bergelut untuk membendung wabak koronavirus yang merebak dengan cepat.

Gabenor Naomichi Suzuki mengisytiharkan keadaan darurat di kawasan itu sehingga 19 Mac.

“Saya percaya adalah perlu untuk mengambil langkah drastik,” beritahu Suzuki pada mesyuarat eksekutif kerajaan tempatan yang disiarkan di televisyen.

Kawasan Hokkaido, terkenal dengan resort peranginan ski dan hutan yang luas, telah mencatat sekurang-kurangnya 63 kes koronavirus, termasuk dua kematian, dan menyumbang kepada satu perempat daripada kesemua kes di Jepun, selain daripada mereka di kapal persiaran Diamond Princess.

Kerajaan pusat Perdana Menteri Shinzo Abe telah pun menghantar sekumpulan pakar dan pegawai ke kawasan itu untuk membendung virus berkenaan.

Murid-murid tiba di sekolah rendah di Sendai, utara Jepun, pada pagi kelmarin, sehari selepas Perdana Menteri Shinzo Abe mengumumkan semua sekolah di seluruh negara ditutup, kecuali sekolah tadika. – AP

“Saya meminta semua penduduk Hokkaido supaya melindungi nyawa dan kesihatan dan ahli keluarga tersayang serta memastikan situasi yang berlaku sekarang berakhir secepat mungkin,” kata gabenor.

“Untuk menghalang virus daripada merebak seterusnya, tolong jangan keluar pada hujung minggu,” kata beliau.

Tempat peranginan ski di kawasan itu menarik ramai pelancong Asia, termasuk dari China.

Suzuki telah pun meminta sekolah tempatan ditutup, tetapi tidak mengumumkan sebarang langkah konkrit untuk memerangi wabak itu.

Abe, yang juga meminta penutupan sekolah di seluruh negara semalam, telah berkata usaha pada minggu-minggu akan datang akan menentukan sama ada wabak boleh dibendung, satu kebimbangan besar sebelum berlangsungnya Olimpik Tokyo pada Julai. – AFP