Hollywood, Bollywood bersatu hasil 40 filem

Gabungan dua syarikat, STX Entertainment dari Amerika Syarikat dan ErosInternational PLC berpangkalan di India menyatukan Hollywood dan Bollywood selepas industri perfileman global mengalami kemerosotan akibat serangan pandemik COVID-19.

Kini dikenali sebagai Eros STX Global Corporation, syarikat berkenaan disenarai dalam syarikat tersenarai awam dalam Bursa Saham New York.

Mengikut laporan Bloomberg, sasaran Eros STX mahu menerbit dan mengedarkan kandungan Bollywood dan Hollywood.

Selain filem dan siri televisyen, Eros STX menawarkan operasi penstriman menerusi ErosInternational yang memiliki 188 juta pengguna menerusi platform digital ErosNow. Ia termasuklah 26 juta pelanggan berbayar dengan lebih 12,000 hak milik digital dan 3,000 judul filem.

Pengasas ErosInternational, KishoreLulla berkata, hubungan baik dan kepercayaan terhadap rakan kongsi dari STX, RobertSimonds akhirnya menjadikan penggabungan satu kenyataan. Apatah lagi, anak perempuannya pernah menjalani latihan industri bersama STX.

“Saya sentiasa percaya teknologi akan mengubah model studio kepada digital. Pada akhirnya, wabak COVID-19 menyatukan perjanjian antara kami.

“Dalam tempoh empat hingga enam minggu ini, jumlah masa yang dihabiskan pengguna platform digital melonjak antara 50 hingga 200 peratus,” katanya yang memegang jawatan Eksekutif Pengerusi Bersama, Eros STX.

Gabungan berkenaan membolehkan dua syarikat bebas bersaing dengan syarikat perfileman besar yang kini menjadi trend di Hollywood. Ia menyebabkan syarikat kecil dan indie di Amerika Syarikat sukar bersaing.

Eros STX merancang menghasilkan 40 filem dan lebih 100 siri televisyen, tahun ini termasuk menyediakan kandungan saluran penstriman seperti Netflix, Hulu dan Amazon. – Agensi

Salah satu filem dari Hollywood Hustlers terbitan STX Entertainment lakonan Jennifer Lopez yang pernah mencipta kejayaan. -Agensi