Holyfield tumbang pusingan pertama

MIAMI, 12 SEPT – Bekas juara dunia heavyweight, Evander Holyfield tumpas menerusi knockout teknikal (TKO) pada pusingan pertama kepada bintang seni bela diri campuran, Vitor Belfort, kelmarin.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump turut membuat komen di tepi gelanggang dekat kasino Seminole Hard Rock di Hollywood, Florida, apabila bintang Brazil itu melepaskan tumbukan menyebabkan Holyfield terjatuh di tali gelanggang.

Legenda AS itu kembali bangkit namun rebah ke lantai selepas diasak Belfort. Dia mengatasi kiraan pengadil tetapi selepas menerima tumbukan bertalu-talu tanpa balas, pengadil menghentikan pertarungan walaupun dibantah Holyfield.

“Ia tidak menyakitkan,” kata Holyfield yang menegaskan bahawa keputusan memberhentikan pertarungan sebagai ‘sesuatu menyedihkan.’

“Itulah yang terjadi,” katanya. “Saya rasa ia keputusan yang teruk.”

Vitor Belfort semasa melakukan tumbukan kepada Evander Holyfield ketika pertarungan tinju di Hard Rock Live di Hollywood, Florida kelmarin. – AFP

Holyfield bertarung buat kali pertama sejak mengalahkan Brian Nielsen pada 2011 dalam karier gemilangnya.

Holyfield memenangi pingat emas Olimpik 1984 dalam kelas light heavyweight dan mendominasi kategori cruiserweight secara profesional sebelum menyertai pertarungan heavyweight.

Dia dikenali sebagai pemenang heavyweight termasuk dua kali mengalahkan Mike Tyson dengan satu daripadanya dalam “Bite Fight”, selain mengatasi George Foreman dan menewaskan Riddick Bowe.

Pertarungan Holyfield dengan rekod 44-10 selain dua seri dan 29 knockout, diterima Belfort selepas hanya lapan hari menerima notis berikutan Oscar De La Hoya diuji positif COVID-19.

Holyfield berkata dia sudah bersedia, setelah membuat persediaan untuk kembali ke gelanggang berdepan Kevin McBride namun ia tidak dapat diadakan.

Ditanya selepas pertarungan sama ada dia masih berminat untuk bertarung dengan musuh lamanya, Tyson, Holyfield berkata: “Sudah tentu ya.” – AFP