Homestage realty lancar pejabat baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Menjelang ulang tahun Homestage Realty ke-10 tahun dalam hartanah, satu majlis pembukaan rasmi pejabat terbaharunya telah diadakan petang tadi di Kiarong.

Hadir bagi merasmikan pejabat baharu Homestage Realty tersebut ialah Pengurus Besarnya, Kevin dan Pengasas V Home Development, Voon Tung San.

Pejabat baharu tersebut mengandungi dua bilik mesyuarat dan ruangan bagi kakitangannya serta Coffee & Tea lounge. Dengan ruangan baharu tersebut, pasukan Homestage Realty kini bersedia untuk membantu lebih ramai lagi rakyat dan penduduk di negara ini bertepatan dengan visi dan misinya untuk membantu para pelanggan mencari rumah kediaman yang sesuai.

Nama ‘Homestage’ diperoleh dari makna membimbing para pembeli dalam proses mencari rumah yang tepat, pinjaman dan proses bank, dokumentasi peguam, tahap konstruksi, penyiapan rumah dan penyerahan kunci.

Homestage Realty telah membantu lebih 300 orang pemilik rumah di negara ini sejak empat tahun yang lalu, di mana Homestage Realty merupakan pasukan hartanah terkemuka di Negara Brunei Darussalam yang mempunyai kepakaran dalam menawarkan kediaman yang terbaik dan dengan harga yang berpatutan sama ada di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait.

Di samping itu, Homestage Realty juga sedang merancang beberapa projek terbaharu yang akan dijalankan tidak lama lagi di beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara.

Dengan slogan, ‘Make their dream home into reality’, pasukan Homestage Realty akan memberikan lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan rumah impian mereka.

Kevin dan Voon Tung San semasa merasmikan pejabat baharu Homestage Realty di Kiarong.