Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Honda angkat kaki ke Australia

    SYDNEY, 6 Ogos – Bintang Jepun, Keisuke Honda menyertai juara Liga-A, Melbourne Victory dengan bekas penyerang AC Milan itu melabelnya sebagai kelab terbaik di Australia.

    Honda, yang mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa susulan kekalahan memilukan Jepun kepada Belgium pada Piala Dunia Rusia, bulan lalu menyertai Victory bagi musim 2018-19.

    “Keisuke secara konsisten membuktikan tahap keupayaannya di peringkat tertinggi dan kami tidak sabar untuk melihat apa yang boleh dilakukannya di Melbourne,” kata jurulatih Victory, Kevin Muscat.

    Penyerang berbisa berusia 32 tahun itu, yang menjadi salah seorang bintang ternama dalam bola sepak Asia, tidak terikat dengan sebarang kontrak sejak meninggalkan kelab Mexico, Pachuca.

    “Saya amat gembira untuk menyertai Melbourne Victory. Saya mengetahui mereka meminati saya seminggu selepas Piala Dunia,” kata Honda.

    Gambar fail pada 14 Jun 2018 menunjukkan Keisuke Honda menyertai sesi latihan di Kazan semasa saingan Piala Dunia. Honda menyertai juara Liga-A, Melbourne Victory kelmarin dan menyifatkan kelab itu sebagai kelab terbaik di Australia. – AFP

    “Saya meneliti beberapa perkara. Melbourne Victory kelab paling berjaya di Liga-A. Ia menakjubkan. Mereka menjadi juara beberapa kali.”

    Selain Milan, Honda yang mencipta nama ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan apabila membantu Jepun mara ke peringkat kalah mati, juga pernah beraksi bersama kelab Belanda, VVV-Venlo dan CSKA Moscow di Rusia. Beliau telah mencatat 37 gol dalam 98 penampilan bersama pasukan kebangsaan dan menjadi pemain Jepun pertama yang menjaringkan gol dalam tiga edisi Piala Dunia (2010, 2014, 2018).

    “Pengumuman pada hari ini adalah Keisuke Honda akan menyertai Melbourne Victory sekali gus akan memeriahkan lagi musim Liga-A Hyundai,” kata ketua Persekutuan Bola Sepak Australia, David Gallop.

    “Memiliki pemain yang berpengalaman, berkaliber dan kebolehpasaran, ia akan meningkatkan lagi imej Liga A Hyundai dan reputasi antara benua Asia dan seluruh dunia.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda