MALAYSIA merupakan satu-satunya pasaran luar Jepun yang menerima model Jazz dan City Sport Hybrid i-DCD. Jadi, model ini bukan sahaja belum berada di Thailand atau negara ASEAN lain, malah ia juga tidak berada di Australia, Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara lain di dunia selain Malaysia dan Jepun.
Jika dilihat dari bahagian luaran, versi hibrid ini diberikan penampilan yang hampir sama dengan City E – hadir dengan lampu hadapan halogen, lampu nyalaan siang serta lampu belakang LED. Ia turut diberikan rim aloi dua-tona 16-inci yang seiras dengan rim pada City V petrol, dibaluti tayar Goodyear Excellence 185/55R16.
Masuk kebahagian kabin, pemandu dihidangkan dengan paparan instrumen yang berbeza dengan versi petrol. Meter kelajuan utama pada bahagian tengah masih lagi kelihatan seiras dengan versi petrol tetapi meter rpm pada sebelah kiri telah digantikan dengan paparan informasi bateri hibrid (di cas atau sedang berfungsi mengeluarkan tenaga), kedudukan gear, serta paparan informasi kecil lain.
Ciri lain pada bahagian dalaman masih lagi sama dengan City petrol varian E termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem infotainmen dengan skrin Display Audio 6.8-inci, sistem pendingin hawa automatik dengan suis kawalan dan paparan digital, upholsteri tempat duduk fabrik dan tiada sebarang balutan kulit pada roda stereng mahupun tombol gear.
Disebabkan bateri sistem hybrid diletakkan pada lantai ruang kargo, but sedan ini masih kekal dengan kapasiti 536 liter sama seperti versi biasa. Namun, dengan ketiadaan tayar gantian, Honda menyediakan kit baik pulih tayar bocor yang terdiri daripada cecair untuk menahan udara dari keluar dari lubang bocor dan juga pam angin elektrik yang berfungsi menggunakan soket 12V.
Honda City Hybrid dijana oleh sistem Sports Hybrid i-DCD yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter i-VTEC DOHC kitaran Atkinson berkuasa 110 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 134 Nm, serta motor elektrik berkuasa 30 PS/160 Nm. Gabungan kedua-dua unit berkenaan menjadikan kuasa akhir City Hybrid ini pada 137 PS dan tork maksima 170 Nm – kuasa yang hampir setara dengan enjin petrol Civic FC 1.8L (141 PS/174 Nm).
Transmisi model ini sangat seronok untuk digunakan berbanding transmisi CVT pada versi petrol mahupun pada unit janakuasa hibrid IMA pada model generasi sebelum ini.
Tambahan pula, City Hybrid turut diberikan pedal penukar gear pada stereng bagi membolehkan anda menggunakan mod penukaran gear secara manual.
Untuk nisbah gear pula, ia telah ditala dengan agak baik berdasarkan tork enjin dari gear satu hingga gear enam. Manakala untuk gear tujuh pula, ia lebih berfungsi sebagai gear ‘overdrive‘ untuk menjimatkan penggunaan bahan api ketika cruising – ‘top speed‘ kereta ini ‘mati’ pada kelajuan 180-190 km/j dengan gear enam, kemudian gear ketujuh masuk tanpa meningkatkan lagi kelajuan tetapi rpm enjin dapat direndahkan.
Jurutera Honda turut mengukuhkan lagi tiang-A (tiang cermin hadapan) model hibrid tersebut.
Ini adalah sebahagian usaha untuk memberikan talaan stereng yang lebih bagus selain dari rak stereng itu sendiri yang turut ditukar dengan unit dengan nisbah stereng 15.6 peratus lebih pantas dari versi petrol. Akhir sekali, suspensi pada model hibrid ini juga diberikan talaan yang lebih keras dari model yang di jana enjin petrol.
Bagi pemilik model-model hibrid IMA Honda terdahulu, pastinya penukaran lapan buah palam pencucuh pada servis perbatuan 100,000 km yang berharga hampir RM1k masih menjadi igauan. Untuk model i-DCD baru ini, ia hanya menggunakan empat unit palam pencucuh sahaja yang berharga separuh berbanding model sebelumnya.
Menurut Honda, harga satu unit bateri model baru ini adalah RM5,513 dan jumlah tersebut hanya perlu anda bayar sekiranya ia rosak selepas usia lapan tahun kerana perlindungan waranti diberikan khas untuk bateri sebelum tempoh berkenaan.