Honda, GM gabung bangunkan kenderaan elektrik

DETROIT, 4 SEPT – General Motors (GM) dan Honda dijangka memeterai satu perjanjian di Amerika Utara untuk berkongsi pembangunan kenderaan dan kos teknologi tatkala industri menuju ke arah kenderaan elektrik dan automatik.

Memorandum persefahaman (MoU) itu diumumkan semalam, dan syarikat berkata mereka merancang berkongsi idea kenderaan serta enjin dan sistem gear.

Ia merupakan satu lagi tanda penggabungan yang meningkat dalam perniagaan kereta tatkala syarikat berdepan perbelanjaan modal besar untuk membangunkan produk serta kenderaan yang menggunakan bateri dan pandu sendiri.

“Industri kereta mempunyai sejarah lama menerima tekanan disebabkan kos dan margin keuntungan lebih rendah,” kata penganalisis Edward Jones, Jeff Windau. “Mereka cuba mengemukakan proses pembangunan kenderaan mahal, dan berupaya melakukannya seberapa cekap mungkin.”

Tidak ada butir-butir diberikan mengenai jenis kenderaan yang akan dibangunkan bersama, namun syarikat berkata dalam satu kenyataan kerja-kerja perancangan akan bermula dengan serta-merta dan termasuk kenderaan yang menggunakan elektrik dan enjin pembakaran dalaman. Kerja kejuruteraan akan bermula pada awal tahun depan. Mereka juga akan bekerjasama mengenai pengeluaran, pembelian alat ganti, penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan. – AP

Gambar fail menunjukkan jurugambar mengambil gambar General Motors-Honda Next Generation Fuel Cell selepas sidang media di Detroit. GM dan Honda berkata mereka telah memeterai satu perjanjian untuk membangunkan kenderaan dan sistem gear di Amerika Utara. – AP