Honda lancar kereta pandu sendiri paling moden

TOKYO, 5 MAC – Honda melancarkan kereta pandu sendiri paling moden di dunia yang berlesen di jalan raya hari ini, denganmengeluarkan kumpulan 100 model pertama di Jepun.

Model Legend berupaya memandu di lorong lebuh raya serta memotong dan bertukar lorong di bawah keadaan tertentu.

Kereta itu juga memaparkan fungsi berhenti kecemasan sekiranya seorang pemandu tidak memberikan respons terhadap amaran belokan atau pusingan, dan Honda telah menjalani ujian keselamatan yang ekstensif.

“Kira-kira 10 juta pola situasi dunia sebenar disimulasi semasa pembangunan sistem tersebut, dan ujian demonstrasi dunia sebenar dijalankan di lebuh raya sejauh kira-kira 1.3 juta kilometer,” katanya dalam satu kenyataan.

Pakar berkata pengeluaran terhad itu akan membantu menentukan sama ada terdapatnya permintaan yang cukup untuk kenderaan automatik.

Kenderaan automatik dikelaskan pada skala 0-5, dengan 5 menandakan automatik sepenuhnya. Legend berada pada skala 3.

Beberapa pengeluar kereta telah pun mengeluarkan kenderaan yang berada pada skala 3, tetapi tidak banyak negara yang mempunyai rangka kerja membenarkan penjualan dan penggunaan mereka.

Pelancaran Honda Legend diadakan selepas pengeluar kereta mendapat kelulusan untuk jualan di Jepun pada November lalu. – AFP