Honda lapor kerugian pada April-Jun

TOKYO, 5 OGOS – Pembuat kereta Jepun, Honda melaporkan hari ini ia mencatatkan kerugian pada suku April hingga Jun, selepas penjualannya merosot berikutan dengan penularan wabak koronavirus terutama di Amerika Syarikat (AS), Jepun dan India.

Honda Motor Co. mengalami kerugian pada suku pertama fiskal 80.8 bilion yen (AS$765 juta), berbanding dengan keuntungan sebanyak 172 bilion yen yang dicatatkan pada tahun fiskal sebelumnya.

Naib Presiden Eksekutif Seiji Kuraishi memberitahu wartawan penjualan dan keuntungan dijangka melantun.

“Sudah tentu, ketidakpastian masih ada mengenai koronavirus, tetapi banyak kesan negatif disebabkan oleh kesukaran dalam pengeluaran dan penjualan yang disebabkan oleh sekatan pergerakan,” katanya.

Krisis ini telah mendorong Honda untuk menyusun semula operasinya dengan meningkatkan penjualan dalam talian, katanya.

Jualan suku tahunan Honda yang berpusat di Tokyo menurun 47 peratus kepada 2.1 trilion yen (AS$20 bilion), menurut pembuat kereta sedan Accord, sel bahan bakar Clarity, robot Asimo dan van mini Odyssey.

Pembuat kereta telah terjejas akibat wabak tersebut. Syarikat General Motors Co. yang berpangkalan di Detroit mengalami kerugian sebanyak AS$806 juta dari April hingga Jun, selepas penutupan kilang selama dua bulan.

Nissan Motor Co., yang berdepan dengan skandal yang dikaitkan dengan bekas eksekutifnya Carlos Ghosn, mengalami kerugian 285.6 bilion yen (AS$2.7 bilion) dan telah mengumumkan penutupan kilang di Sepanyol dan Indonesia. – AP

Gambar fail pada 31 Julai 2019 menunjukkan penduduk tempatan berjalan melewati sebuah kereta Honda yang dipamerkan di ibu pejabat Honda Motor Co. di Tokyo. – AP