TEGUCIGALPA, 20 Sept – Pihak berkuasa Honduras mengisytiharkan kecemasan kesihatan, susulan sejumlah 5,500 kes jangkitan beguk dilaporkan sejak Januari, paling banyak dilaporkan di utara negeri Cortes.
Kementerian Kesihatan berkata sebanyak 3,740 kes dilaporkan di Cortes manakala seramai 850 lagi di San Pedro Sula. menderita penyakit virus di ibukota Cortes San Pedro Sula.
Wabak itu mendorong Persatuan Kilang Honduras (AHM) memulakan kempen vaksinasi untuk semua pekerja dan anak-anak mereka.
Pengarah Komunikasi dan Pemasaran AHM Tesla Callejas, berkata sekurang-kurangnya tiga kilang di kawasan itu mengalami peningkatan kes.
Beliau berkata AHM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Cortes telah memberikan vaksin kepada lebih 2,500 pekerja kilang, setakat ini.
“Anak-anak pekerja di bawah umur lima tahun juga diberi suntikan vaksin,” katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan, pada minggu ini terdapat 3,266,931 orang dewasa terdedah kepada jangkitan kerana mereka tidak pernah menerima suntikan imunisasi untuk mencegah jangkitan tersebut.
Justeru, kementerian mengesyorkan penggunaan topeng muka sebagai langkah pencegahan dan elakkan berkongsi pakaian serta kelengkapan dengan individu yang dijangkiti beguk. – Bernama