HONG KONG, 17 DIS – Hong Kong bakal mengadakan pemilihan wakil rakyat baharu pada Ahad ini, di bawah peraturan ‘patriot sahaja’ yang ditetapkan oleh Beijing.
Peraturan itu mengurangkan dengan drastik bilangan kerusi yang akan diisi melalui pilihan raya secara langsung, selain turut mengawal siapa boleh menjadi calon yang bertanding.
Ia merupakan pilihan raya badan perundangan yang pertama diawasi pelan tindakan politik baharu dikenakan oleh Beijing ke atas Hong Kong sebagai tindak balas terhadap bantahan besar-besaran oleh golongan prodemokrasi dua tahun lalu.
Kira-kira 4.5 juta daripada keseluruhan 7.5 juta penduduk di Hong Kong, boleh mengundi tetapi hanya menentukan penyandang untuk 20 daripada sejumlah 90 kerusi sedia ada.
Majoriti penyandang membabitkan sebanyak 40 kerusi akan dipilih oleh sebuah jawatankuasa pemilih dibarisi 1,500 penyokong setia Beijing yang membentuk 0.02 peratus daripada populasi bandar ini.
Baki penyandang untuk 30 kerusi pula akan dipilih jawatankuasa pro-Beijing yang boleh dipercayai serta mewakili pelbagai kumpulan industri dan berkepentingan khas. Di bawah peraturan baharu itu, kesemua 153 calon terbabit juga telah disaring dari segi kesetiaan politik dan patriotisme mereka. – AFP