Hong Kong dakwa AS pilih kasih tangani protes

HONG KONG, 2 JUN – Ketua Pegawai Hong Kong, Carrie Lam menuduh Amerika Syarikat (AS) berat sebelah dalam isu tunjuk perasaan, selain memberi amaran bahawa rancangan Washington untuk meletakkan sekatan perdagangan di pusat kewangan hanya akan memberi kesan buruk kepada mereka.

Washington sebelum ini mengkritik tindak balas Hong Kong terhadap penunjuk perasaan dengan Presiden Donald Trump pada minggu lalu berjanji akan mengakhiri status perdagangan khas bandar itu setelah Beijing mengumumkan rancangan untuk mengenakan undang-undang keselamatan negara yang meluas di pusat perniagaan. Carrie berkata, tindakan seperti itu akan merugikan diri sendiri dan amat jelas ketika ini berlaku situasi berat sebelah terhadap tindakan pentadbiran Trump untuk mengatasi keganasan ekoran tunjuk perasaan yang berlaku di AS.

“Kamu tahu berlaku rusuhan di AS dan kita lihat bagaimana kerajaan tempatan bertindak. Di Hong Kong juga ada rusuhan yang hampir sama dan bagaimana tindakan yang diambil,” katanya.

Minggu lalu, Parlimen China meluluskan rancangan undang-undang yang akan menghukum pemisahan, penindasan kuasa negara, keganasan dan tindakan yang membahayakan keselamatan negara serta membenarkan agensi keselamatan China bero-perasi secara terbuka di Hong Kong.

Beijing mengatakan undang-undang antisubversif yang akan melewati badan perundangan Hong Kong diperlukan untuk mengatasi keganasan dan pemisahan. – AFP