HONG KONG, 23 MAC – Hong Kong akan melarang semua penduduk bukan pemastautin daripada memasuki hab kewangan itu mulai tengah malam esok dalam usaha untuk mengekang koronavirus, kata pemimpinnya hari ini, tatkala beliau juga mengarahkan restoran dan bar berhenti menghidangkan minuman alkohol.
Meskipun jarak yang dekat dengan China, Hong Kong berjaya menangkis wabak virus disebabkan tindakan orang awam yang memakai topeng muka, amalan membersihkan tangan dan penjarakkan sosial.
Namun dalam tempoh dua minggu lalu, jumlah kes telah bertambah dua kali ganda kepada 356 jangkitan selepas penduduk tempatan dan asing membanjiri pulang sebaik sahaja pandemik merebak ke Eropah dan Amerika Utara.
Hari ini, ketua eksekutif Carrie Lam mengumumkan pelbagai langkah bertujuan membendung jumlah jangkitan yang meningkat.
“Mulai tengah malam 25 Mac, semua penduduk bukan pemastautin Hong Kong yang terbang masuk dari luar negara tidak dibenarkan memasuki bandar,” kata beliau, menambah arahan itu akan berkuat kuasa selama sekurang-kurangnya dua minggu. – AFP