Hong Kong longgar langkah sekatan

HONG KONG, 27 OGOS – Kerajaan Hong Kong pada khamis mengesahkan sebahagian langkah penjarakan fizikal akan dilonggarkan bermula Jumaat berikutan penurunan kes baharu COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Selama tujuh hari berikutnya bermula Jumaat, perkhidmatan makan malam di restoran akan dibenarkan beroperasi sehingga 9 malam waktu tempatan berbanding sebelum ini pada 6 petang. Selain itu, pawagam, pusat kecantikan dan beberapa pusat sukan luar juga akan dibuka semula.

Peraturan pemakaian wajib penutup mulut dan hidung di taman-taman rekreasi juga akan ditarik balik, menurut kenyataan pemerintah.

Bagaimanapun, sekatan penjarakan fizikal yang lain akan berterusan kerana pandemik ini masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

Jurucakap Biro Makanan dan Kesihatan meminta penduduk terus memakai penutup mulut dan hidung terutama ketika menggunakan pengangkutan awam dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

Pusat Perlindungan Kesihatan Hong Kong melaporkan 24 kes baharu COVID-19 pada Rabu, menjadikan jumlah kes disahkan sebanyak 4,734. – Bernama