Hong Kong longgarkan sekatan sosial

HONG KONG, 5 MEI – Hong Kong hari ini mengumumkan rancangan untuk melonggarkan langkah penjarakan sosial, termasuk membuka semula sekolah, pawagam, bar dan salun kecantikan selepas wilayah China itu berjaya mengawal penularan koronavirus.

Pelonggaran itu, yang berkuat kuasa pada Jumaat, akan menjadi satu rangsangan untuk bandar yang dibelenggu kemelesetan teruk berikutan sekatan virus berbulan lamanya serta bantahan antikerajaan yang telah menjejas teruk ekonomi.

Pihak berkuasa juga mengumumkan pelan untuk mengagih penutup mulut dan hidung yang boleh dipakai semula kepada 7.5 juta penduduk bandar.

Hong Kong mencatat beberapa kes COVID-19 paling awal di luar China dan meskipun terletak dekat dengan China, ia berjaya mengawal jangkitan kepada kira-kira 1,000 dengan empat kematian.

Tidak adanya jangkitan baharu dalam 10 daripada 16 hari terakhir dan kes yang dicatat datang daripada orang yang pulang dari luar negara.

“Saya berharap langkah berkenaan akan menjadi sinar harapan untuk rakyat,” beritahu pemimpin bandar Carrie Lam kepada wartawan hari ini apabila beliau menjelaskan pelonggaran sekatan. – AFP