Hong Kong mungkin haramkan topeng muka

HONG KONG, 3 OKT – Hong Kong tidak lama lagi akan mengharamkan pemakaian topeng muka semasa protes awam, media tempatan melaporkan hari ini ketika pihak berkuasa cuba membendung perhimpunan pro-demokrasi yang menggegarkan bandar berkenaan.

Orang ramai yang berang terhadap pemerintahan China di bandar separa autonomi itu menekankan konfrontasi yang semakin ganas di antara pegawai polis dan penunjuk perasaan tidak menampakkan tanda akan berakhir setelah berlarutan hampir empat bulan.

Penunjuk perasaan menggunakan topeng, topi keledar, gogal dan penutup hidung untuk mengelak daripada dikenali serta melindungi diri mereka daripada gas pemedih mata.

Para pegawai merancang untuk menghalang pertemuan masa depan dengan memperkenalkan larangan di bawah undang-undang kecemasan era kolonial yang memintas perundangan bandar itu, menurut South China Morning post sambil menambah pemimpin Hong Kong Carrie Lam dijangka mengumumkan langkah berkenaan Jumaat ini.

Ahli perundangan Pro-Beijing di hab kewangan telah memperbaharui gesaan terhadap Lam agar memperkenalkan peraturan kecemasan sejak Selasa apabila protes membayangi ulang tahun ke-70 untuk penubuhan Republik Rakyat China.

Pada hari keganasan paling teruk sejak protes bermula, polis menembak dan mencederakan seorang remaja yang menyerang pegawai dengan tongkat dan melepaskan 1,400 tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai di seluruh bandar.

“Jika kita ada undang-undang, maka ini akan memberi kesan pencegahan kepada sesetengah orang,” kata ahli parlimen Elizabeth Quat kepada pemberita hari ini.

“Kami tidak bercakap mengenai tunjuk perasaan aman. Kami bercakap mengenai orang yang menggunakan keganasan secara haram,” katanya.

Tetapi penggubal undang-undang pro-demokrasi Dennis Kwok berkata, undang-undang kecemasan itu akan menandakan ‘permulaan ke arah sebuah negara autoritarian’. – AFP

Seorang pelajar memakai topeng Guy Fawkes ketika menyertai tunjuk perasaan di Hong Kong, kelmarin. – AFP