Hong Kong rampas 8 tan sisik tenggiling

HONG KONG, 1 Feb – Sebanyak lapan tan sisik tenggiling ditemui dalam satu kontena dari Nigeria oleh pegawai Hong Kong pada hari ini, menekankan peranan utama bandar itu dalam perniagaan hidupan liar dan spesies terlindung yang berkembang pesat.

Pegawai kastam berkata mereka menjalankan siasatan bersama dengan pegawai China pada 16 Januari, merampas 8,300 kilo sisik tenggiling dan 2,100 kilo gading yang disembunyi dalam sebuah kontena, diisytiharkan membawa daging lembu beku – di sebuah bangunan kastam.

“Ia adalah jumlah yang amat tinggi untuk rampasan sisik tenggiling,” kata jabatan kastam dalam satu kenyataan.

Seorang lelaki dan seorang wanita daripada sebuah syarikat perniagaan dibandar telah ditahan, kata jabatan.

Pegawai kastam mempamerkan berpuluh guni yang diisi sisik kepada media serta beratus gading yang belum dipotong, dalam bilik yang berbau menusuk hidung. Pegawai menganggarkan nilai rampasan pada HK$62 juta.

Para pegawai kastam Hong Kong melihat sebahagian daripada sisik tenggiling yang dirampas dan dipamerkan semasa sidang media, kelmarin. – AFP

Pengumuman itu keluar kurang dua minggu selepas satu gabungan kumpulan pemuliharaan tempatan menggesa Hong Kong supaya melakukan lebih banyak untuk bertindak keras ke atas penyeludupan hidupan liar haram dengan menamatkan jalan sah dan hukuman ringan.

Dalam laporan yang menganalisis rampasan dan sabitan, penyokong pemuliharaan berkata pusat kewangan selatan China itu memainkan peranan ‘tidak seimbang’ dalam jenayah hidupan liar – menyumbang kepada satu perlima daripada kesemua rampasan gading dan hampir separuh daripada kesemua tenggiling yang dirampas dalam tempoh satu dekad lalu.

Mengingatkan bahawa jumlah barang gelap yang membanjiri pelabuhan Hong Kong mungkin di antara lima dan 10 kali lebih daripada jumlah yang dirampas, mereka meminta pihak berkuasa supaya menyenarai kesalahan penyeludupan hidupan liar di bawah undang-undang jenayah terancang bandar untuk mensasarkan penyeludup dadah dan geng kongsi gelap.

Hong Kong baru-baru ini menambah penalti maksimum ke atas penyeludupan kepada hukuman penjara 10 tahun dan denda HK$10 juta.

Berdasarkan sejarah, beberapa orang yang ditangkap jarang menghadapi hukuman berat.

Tenggiling yang bersifat nokturnal dan penakut, yang bergulung menjadi bebola apabila terancam – menjadikan mereka mudah terdedah kepada pemburu – ialah salah satu haiwan mamalia yang paling banyak diseludup. – AFP