Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hope Network perkasa peranan belia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – The Global Network for Youth Competitiveness Hope Network di bawah kendalian Kementerian Hal Ehwal Belia Bahrain telah sempurna dilancarkan kelmarin di Bahrain.

    Hadir ke majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, bersama menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia dan beberapa organisasi dari Kemboja, Republik Demokratik Rakyat Algeria, Turkiye, Republik Islam Pakistan, Maghribi, Kyrgyzstan, Republik Rakyat China, Republik Cyprus, Itali, Republik Afrika Selatan, Republik Tunisia, Persekutuan Rusia, Libya, Amerika Syarikat dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

    Hadir sama adalah anggota Pejabat Belia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Majlis Wilayah Persekutuan Sirius dan Liga Arab.

    Semasa majlis pelancaran tersebut, Yang Berhormat Dato juga berkesempatan berjumpa dengan rakan sejawat iaitu Menteri Hal Ehwal Kebeliaan, Bahrain, Puan Yang Terutama Rawan bint Najeeb Tawfigi, bagi membincangkan cabaran-cabaran yang sedang dihadapi dalam hal ehwal belia dan bertukar-tukar pandangan mengenai amalan terbaik serta potensi kerjasama dua hala.

    Yang Berhormat Dato bersama menteri-menteri yang lain juga menandatangani Hope Network Charter sebagai tanda sokongan Negara Brunei Darussalam atas usaha Bahrain dalam memperkasa dan mengangkat peranan belia untuk kemajuan sejagat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menghadiri majlis pelancaran tersebut di Bahrain, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    GAMBAR SERAHAN KKBS

    Ia sejajar dengan matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035, Negara Brunei Darussalam iaitu antaranya pemerkasaan belia dengan menggalakkan peningkatan kerjasama dan pertukaran organisasi belia di peringkat serantau dan antarabangsa, serta belia mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam pelbagai kejayaan.

    Yang Berhormat Dato turut disertai oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Negara Brunei Darussalam ke Kerajaan Bahrain dari pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Hope Network ini bertujuan sebagai platform yang komprehensif dalam memberikan perkhidmatan kepada negara-negara seluruh dunia yang telah mengiktiraf kepentingan dalam memupuk harapan dan memberikan keyakinan yang positif dalam kalangan belia; menyokong peranan belia-belia dalam pembangunan negara masing-masing dan di seluruh dunia.

    Majlis pelancaran berkenaan diadakan bersempena sambutan Jubli Perak Raja Kerajaan Bahrain, His Majesty King Hamad bin Isa Al-Khalifa menaiki takhta.

    Inisiatif tersebut diterajui oleh His Highness Shaikh Nasser bin Hamad Al-Khalifa yang mewakili His Majesty King Hamad dalam hal ehwal kemanusiaan dan kebeliaan.

    Negara-negara ahli Hope Network termasuk Brunei telah mempamerkan amalan-amalan terbaik dalam pembangunan belia di negara masing-masing melalui video semasa majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda