Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Seramai 100 orang pelajar Tahun 7 Sekolah Menengah Rimba (SMR) II hari ini menghadiri taklimat kenegaraan ‘Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Learning Space sekolah berkenaan.
Taklimat anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan itu disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Awang Mohd Nurakram bin Niraini @Bahrin.
Dalam taklimat beliau antara lain menyentuh mengenai tatacara menaik dan mengibarkan bendera negara selain menerangkan sejarah lagu kebangsaan negara ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.
Pada taklimat itu, para pelajar juga berpeluang menyaksikan klip video ‘Kibarkan dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan tayangan video animasi mengenai tatacara mengibarkan bendera.


Di samping itu, para pelajar juga diberikan peluang untuk menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh jabatan berkenaan.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.
Hadir pada taklimat tersebut ialah Pengetua SMR II, Hajah Khadijah binti Haji Damit bersama tenaga pengajar sekolah berkenaan.