Hormati Hari Kebangsaan pupuk sikap cinta negara

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 21 Feb – Bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35, tahun 2019, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Beruang telah mengadakan acara menaikkan bendera negara di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit Beruang, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Bukit Beruang, Awang Ahmad bin Aman.

Majlis dimulakan dengan Pemangku Ketua Kampung, Haji Salamat bin Sauji menyerahkan bendera kepada tetamu kehormat yang kemudiannya menyerahkannya kepada dua orang belia kampung untuk dinaikkan di kawasan dewan kemasyarakatan berkenaan.

Upacara menaikkan bendera diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan oleh murid-murid Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara, Bukit Beruang.

Majlis turut menyaksikan penyampaian bendera negara kepada 15 orang penduduk kampung terpilih yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Majlis berkenaan diadakan bagi menghormati Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 tahun selain menggalakkan semua penduduk Kampung Bukit Beruang dan sekitarnya untuk menaikkan bendera negara di kediaman masing-masing.

Dengan adanya majlis seperti ini, ia akan dapat memupuk sikap cintai negara dan bersikap patriotisme ahli-ahli MPK dan penduduk kampung.

Haji Salamat menyerahkan bendera negara kepada salah seorang penduduk kampung yang terpilih, baru-baru ini.