Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Hormati kepelbagaian melalui perpaduan sosial

    Oleh Syahmi Hassan

    Sebagai sebahagian daripada aktiviti bersempena Hari Kerja Sosial Sedunia (WSWD), Jabatan Kerja Sosial Perubatan (MSW) Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah menganjurkan forum Respecting Diversity through Joint Social Action di Teater Kuliah, PJSC, hari ini.

    PJSC telah menjemput empat orang ahli panel yang profesionnya terlibat dalam menangani masalah sosial dalam masyarakat, antaranya kaunselor dan motivator yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

    Ahli-ahli panel lain termasuk Peguambela Kesihatan Mental, Pegawai Tugas-tugas Khas, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusuf bin Haji Abdul Majid; Pegawai Kerja Sosial, Seksyen Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, JAPEM, Dayang Nur Arifarina binti Haji Rosli; dan Pegawai Kanan Narkotik di Biro Kawalan Narkotik, Awang Abdul Halim bin Haji Mohamed.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar. Turut hadir ialah pihak pengurusan kanan dan pegawai-pegawai di pusat berkenaan.

    Forum diadakan bertujuan untuk membincangkan tema kempen, iaitu kepentingan menghormati kepelbagaian dan kesan yang boleh dibawa kepada masyarakat melalui perpaduan sosial dan sokongan berterusan yang boleh disumbangkan oleh semua orang.

    Antara panel yang menyampaikan pembentangan di forum berkenaan.
    Antara yang hadir semasa forum tersebut.
    Haji Ali Yusri semasa menyampaikan pembentangan mengenai pekerja sosial membawa perbezaan pada forum itu.

    Dr Haji Mazrul Adimin hadir bersama tetamu lain pada forum yang diadakan di Teater Kuliah, PJSC, kelmarin.

    Sesi forum tersebut diselia oleh Pemangku Pemasaran dan Pengurus Perhubungan Awam PJSC, Awang Nazdeny Ardian bin Haji Johan. Acara dimulakan dengan pengenalan Hari Kerja Sosial Dunia diikuti oleh ceramah pertama disampaikan oleh Haji Ali Yusri di mana beliau mengongsikan mengenai intipati kerja sosial dan kepen-tingan tindakan sosial bersama sambil membincangkan ciri-ciri utama pekerja sosial.

    Penceramah kedua, Awang Muhammad Yusuf dalam pembentangannya mengenai topik ‘Membina Ketahanan Melalui Kesalinghubungan dan Perpaduan Sosial’ menekankan bahawa adalah penting untuk meningkatkan perhubungan dan perpaduan bagi membina daya tahan dalam masyarakat.

    Katanya, kesalinghubungan meliputi hubungan antara ahli keluarga, masyarakat, rakan sekerja, orang atasan dan bawahan, antara lapisan dalam organisasi, merentas jabatan dan beliau juga menekankan tentang keperluan untuk bersikap mesra dan baik hati, menerima perbezaan dan kepelbagaian.

    Sementara itu, Dayang Nur Arifarina bercakap mengenai peranan pekerja sosial komuniti di mana beliau mengongsikan bagaimana tindakan dan peranan masyarakat boleh mempengaruhi transformasi sosial secara keseluruhan, termasuk tindakan baik secara rambang, kerja sukarelawan dan menderma, empati dan juga menyedarkan hadirin tentang peranan JAPEM dalam menangani masalah sosial.

    Penceramah terakhir, Awang Abdul Halim pula membincangkan bahawa diskriminasi sosial boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan terlarang.

    Beliau menegaskan bahawa diskriminasi sosial adalah satu bentuk diskriminasi di mana tingkah laku sosial terhadap seseorang atau kumpulan adalah berdasarkan persepsi sosial tentang ciri-ciri mereka dan yang biasa adalah diskriminasi bangsa, umur, agama, jantina dan kecacatan.

    Kajian, tambah beliau, telah menunjukkan bahawa diskriminasi sosial menjejaskan peluang orang ramai termasuk pekerjaan, penjagaan kesihatan dan peluang pendidikan dan ia boleh menimbulkan tekanan psikologi. Selain itu, ia juga boleh menetapkan laluan untuk menangani maladaptif emosi dan kognisi negatif dengan mewujudkan corak tingkah laku berisiko yang tidak sihat termasuk penyalahgunaan bahan terlarang.

    Justeru ia akan mencetuskan emosi negatif, tingkah laku berisiko yang tidak diingini, kesan negatif kepada keluarga, komuniti, negara dan ekonominya.

    Secara ringkasnya, Awang Nazdeny menyimpulkan bahawa penceramah telah mengongsikan bidang-bidang kepentingan utama dalam lingkungan kerja sosial, iaitu memahami motivasi utama kerja sosial, kepentingan menghormati kepelbagaian, menyenaraikan ciri-ciri utama yang diperlukan bagi pekerja sosial, cara menggerakkan dan bekerjasama, pelbagai organisasi tersedia yang memberikan sokongan dan bagaimana diskriminasi boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan.

    Forum tersebut bertujuan untuk menekankan kepada komuniti global bahawa profesion kerja sosial telah memberikan banyak sumbangan dan sebagai sebahagian daripada dialog berterusan dengan rakan kongsi untuk menangani pelbagai cabaran sosial bersama.

    WSWD disambut pada setiap hari Selasa minggu ketiga bulan Mac setiap tahun di seluruh dunia, yang menandakan hari penting dalam tahun pekerja sosial di seluruh dunia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...