Membaca amalan mulia. Itulah ungkapan yang selalu saya balas apabila pelanggan bertanyakan soalan ‘tidak patut’ kepada saya dalam media sosial.
Saya merupakan seorang wanita, ibu, pekerja syarikat swasta dan juga peniaga dalam laman media sosial.
Setiap hari, saya perlu menguruskan rumah tangga dengan efisien dari matahari terbit hinggalah terbenam. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja.
Lumrah sebagai seorang peniaga, ada kalanya saya menerima mesej pembeli daripada ‘syurga’.
Tidak banyak soal dan terus melakukan transaksi pembelian namun ada juga yang baru pertama kali berurusan dengan saya, maka mereka akan bertanya soalan-soalan yang kadang-kadang tidak terdapat di bahagian FAQ yang telah disediakan di laman media sosial saya.
Namun, terdapat golongan pembeli yang kalau boleh saya tidak mahu langsung berurusan dengan mereka.
Ciri-ciri individu seperti ini ialah mereka banyak bertanya soalan yang ada sudah jawapannya di depan mata.
Contoh, di laman media sosial saya telah dinyatakan waktu perniagaan saya beroperasi.
Jika sudah melebihi waktu ditetapkan, saya memang tidak akan membalas sebarang pertanyaan yang diajukan. Saya juga mempunyai keluarga dan kehidupan peribadi.
Mereka pastinya memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang isteri dan seorang ibu.
Jadi, adalah tidak wajar bagi saya untuk sentiasa tertumpu di hadapan komputer riba untuk melayan bakal pembeli.
Ada juga jenis yang suka marah-marah apabila mesej mereka lambat dibalas ataupun mereka terima ‘blue tick’ sahaja. Perlu saya tekankan di sini, dalam satu-satu masa, saya biasanya menerima puluhan mesej yang menderu masuk ke dalam telefon pintar saya.
Jadi, amalkanlah sikap bertoleransi dan bersabar. Insya-Allah apabila tiba giliran awda, saya akan melayan pertanyaan awda.
Ciri-ciri pembeli paling teruk pernah saya hadapi adalah golongan yang tidak menghormati masa. Walaupun majoriti pembeli saya selesa dengan kaedah pos atau membeli di kedai kiub, ada juga yang gemar untuk bersua muka.
Jadi, kami akan tetapkan ‘meet point’ (MP) di kawasan tertentu pada jam yang dipersetujui. Bagi menjaga reputasi, saya biasanya akan tiba di lokasi 10 minit lebih awal.
Namun, lain pula bagi si pembeli cerewet ini. Biasanya mereka akan tiba lebih lewat daripada masa yang ditetapkan tanpa sebarang notis.
Sekurang-kurangnya, telefonlah atau hantarlah pesanan memaklumkan mereka akan lewat datang tetapi apabila bertemu, tiada kata-kata maaf yang dilontarkan. Sudahlah lewat datang, tiada rasa bersalah pula.
Walau bagaimanapun, di sebalik semua cabaran ini, saya bersyukur kerana perniagaan saya bertambah maju dan perkara-perkara remeh seperti ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha demi diri saya sendiri, anak-anak dan keluarga.
Dayang bermata empat