Hormatilah ibu bapa kita

IBU bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga, banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak serta tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.

Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Perkara ini amat serius terutamanya di negara Barat, yang telah rosak dalam sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham.

Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibu bapa mereka jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.

Islam menuntut anak untuk menghormati ibu bapa

Adakah kita termasuk golongan yang taat, menghormati ibu bapa dan menghargai pe-ngorbanan dan kesusahan mereka? Ibulah yang bersengkang mata menjaga si anak semasa anak sakit demam, semasa si anak merengek-rengek kelaparan.

Betapa besar pula jasa seorang ayah ketika si anak inginkan sesuatu dan walaupun si ayah kepenatan membanting tulang untuk menyara hidup, masih sempat dia meluangkan masa untuk bermain-main menghiburkan si anak.

Islam menuntut agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai sungguh-sungguh pengorbanan dan jasa mereka membesarkan dan mendidik kita. Perintah ini banyak dimuatkan dalam Al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini amat penting:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah,’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Isra, ayat 23 dan 24).

Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadis Rasulullah SAW di bawah wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan ibu bapa.

“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).

Rasulullah SAW tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa mereka ter-masuk dalam golongan Muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan dibalas dengan segera di dunia ini.

“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat At-Tirmizi) – Agensi

Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. – Gambar hiasan