Horn mungkin bersara dari sukan tinju

BRISBANE, 27 OGOS – Jeff Horn telah dinasihatkan untuk bersara selepas bekas juara dunia itu ditewaskan oleh Tim Tszyu dalam perlawanan super-welterweight.

Tiga tahun selepas mengalahkan Manny Pacquiao di stadium Suncorp di Brisbane, peninju Australia itu berkata dia merasa lega kelmarin apabila pengadil menghentikan perlawanan sebelum memasuki pusingan kesembilan.

Horn tidak secara rasmi mengakhiri kariernya selepas kekalahan tersebut, tetapi mengetahui bahawa sukar baginya untuk meyakinkan isterinya dan dua orang anak perempuannya bahawa keputusan terbaik adalah untuk berjuang selepas kekalahan ketiganya dari lima perlawanan terakhir.

“Saya akan pulang dan berbincang dengan Jo (isteri) tetapi saya tahu apa yang akan dikatakan olehnya,” katanya. “Akhirnya, saya terpaksa bertanya jika saya masih mampu melakukannya atau tidak. Saya mungkin tidak bersemangat seperti Tim Tszyu. Saya pernah melaluinya, pernah menjuarai kejuaraan dunia, saya hanya mahu bertarung dalam perlawanan besar dan cabaran terlalu berat buat saya malam ini.”

Tim Tszyu merupakan anak kepada bekas juara dunia dan kelahiran Rusia, Kostya Tszyu. Promoter kepada Horn, Dean Lonergan mencadangkan ini adalah masa yang sesuai buat Horn, yang merupakan bekas seorang guru, untuk bersara.

“Saya rasa malam ini adalah masa yang sesuai untuk berhenti,” kata Lonergan mengenai karier peninju berusia 32 tahun. – AP